AJK bergambar Bersama Setiausaha Eksekutif PEMADAM Negeri Sabah, Pn Jossie Ansilmus
KUDAT: Seramai kira-kira 150 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Program Sambutan Hari Anti Dadah Sedunia 2026 yang berlangsung di Pusat Pendidikan Perubatan Desa, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kudat.
Program anjuran Bersama PEMADAM Negeri Sabah dan Hospital Universiti Malaysia Sabah dengan kerjasama serta sokongan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PERDESA, PPDJS, ISSUP Malaysia Chapter, Ecolink Alumni Association dan beberapa agensi strategik lain, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, rokok, vape dan alkohol, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta bebas dadah.
Pelbagai aktiviti interaktif telah diadakan termasuk lima stesen pendidikan, kuiz kesedaran, Wall of Hope, pameran pendidikan serta sudut fotografi bertemakan Hari Anti Dadah Sedunia. Pendekatan yang santai tetapi interaktif berjaya menarik penyertaan pelajar, guru, pemimpin masyarakat, profesional kesihatan, wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.
Pengarah Program, Prof Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud, berkata program seperti ini membuktikan bahawa kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, NGO dan komuniti mampu memberikan impak yang besar dalam usaha pencegahan penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Walaupun dianjurkan secara sederhana, program ini merupakan satu langkah penting ke arah membangunkan pencegahan penggunaan dadah yang berasaskan bukti (evidence-based prevention). Pencegahan yang berkesan memerlukan penglibatan aktif komuniti, kerjasama pelbagai agensi dan pendidikan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata program ini turut mencerminkan peranan Perkhidmatan Rawatan Ketagihan dan Kesihatan atau HARMONI di Pusat Pendidikan Perubatan Desa, UMS Kudat sebagai Hab Rawatan dan Pencegahan bagi perkhidmatan ketagihan di luar bandar Sabah melalui pendekatan yang menggabungkan pencegahan, intervensi awal, rawatan, pemulihan, pendidikan dan penyelidikan.
Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, program ini mencapai kadar kepuasan peserta sebanyak 97.4 peratus, sekali gus menunjukkan penerimaan dan sokongan yang amat menggalakkan daripada komuniti. Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah yang mampan di Sabah pada masa hadapan.



