ADVERTISEMENTspot_img

PKPP UMS, Borneo Daily Bulletin Meterai Kerjasama Strategik Perkasa Pembangunan Mahasiswa

MEMETERAI KERJASAMA STRATEGIK — Pengarah PKPP UMS, Profesor Madya Dr. Jurry Foo (kiri) bertukar Surat Niat Bekerjasama dengan Pengarah Urusan Borneo Daily Bulletin (BDB), Aduka Jasnin Suman, pada Majlis Menandatangani LoI yang berlangsung di Dewan Canselor, UMS, pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (PKPP UMS) dan Borneo Daily Bulletin (BDB) terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik menerusi pemeteraian Surat Niat Bekerjasama (Letter of Intent, LoI) yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa serta meningkatkan literasi media dan komunikasi.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu pada Sabtu menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk menggabungkan kepakaran masing-masing dalam melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada mahasiswa, institusi serta masyarakat.

Pengarah PKPP UMS, Profesor Madya Dr. Jurry Foo berkata, Borneo Daily Bulletin telah banyak menyumbang kepada usaha meningkatkan keterlihatan PKPP UMS menerusi liputan meluas terhadap pelbagai aktiviti dan program pelajar.

“Melalui kerjasama yang dimeterai ini, kami yakin lebih banyak inisiatif dapat dilaksanakan secara bersama yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, malah turut memberi impak positif kepada pembangunan mahasiswa dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, antara fokus utama kerjasama tersebut ialah memperkukuhkan literasi penyampaian maklumat di media sosial dalam kalangan pelajar dan jurulatih, melaksanakan penyelidikan bersama, menganjurkan program pembangunan, khidmat masyarakat serta pelbagai inisiatif yang menyokong pembangunan holistik mahasiswa.

Prof Madya Dr. Jurry Foo (dua dari kiri), bergambar kenangan bersama Dr. Colonius Atang (kiri), Dr. Juhar Harun (dua dari kanan), Aduka Jasnin Suman (tiga dari kiri), serta barisan pengurusan BDB selepas Majlis Menandatangani Surat Niat Bekerjasama (LoI)

Sementara itu, Pengarah Urusan Borneo Daily Bulletin, Aduka Jasnin Suman berkata, kerjasama strategik berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam merapatkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan industri media demi melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Beliau berkata, sebagai organisasi media yang komited terhadap pembangunan modal insan, BDB bukan sekadar berperanan sebagai platform penyebaran maklumat, malah turut mahu berkongsi pengalaman industri bagi membantu mahasiswa menguasai kemahiran komunikasi, kewartawanan digital, etika penyampaian maklumat serta penggunaan media sosial secara profesional dan bertanggungjawab.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap mahasiswa UMS dapat didedahkan kepada suasana sebenar industri media menerusi latihan, bengkel, perkongsian kepakaran dan pelbagai program pembangunan yang mampu meningkatkan nilai tambah graduan. BDB percaya sinergi antara universiti dan industri merupakan pemangkin penting dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kemahiran insaniah, kepimpinan serta literasi media yang tinggi,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama itu akan menjadi model kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi dan organisasi media dalam melahirkan masyarakat yang lebih celik maklumat, berfikiran kritis serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN