Taman Arnab
RANAU: Ranau Rabbit Farm (RRF) atau Taman Arnab Ranau terus mengorak langkah sebagai antara destinasi pelancongan berasaskan agro dan rekreasi yang semakin mendapat perhatian, dengan kehadiran ribuan pengunjung tempatan serta luar negara setiap tahun.
Terletak kira-kira enam kilometer dari pekan Ranau, lokasi berkenaan pada asalnya merupakan sebidang tanah seluas 14 ekar milik penduduk tempatan, Wong Ko Siong, yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman pokok buah-buahan.
Namun, kawasan itu kini berkembang menjadi produk pelancongan unik yang bukan sahaja menawarkan suasana kehijauan dusun buah-buahan, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti santai dan rekreasi untuk seisi keluarga.
Antara tarikan utama di RRF ialah Taman Arnab yang menempatkan lebih 70 ekor arnab jinak daripada pelbagai spesies, termasuk baka yang dibawa dari luar negara. Selain itu, pengunjung turut berpeluang mencuba aktiviti lasak ringan seperti Sky Bike, Sky Wheel dan Buaian Gergasi, yang disediakan dengan bayaran tertentu.
Ketika ditemui, Wong berkata beliau berharap pengunjung dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di taman berkenaan, yang dikendalikan oleh kakitangan terlatih dan berpengalaman.

Sky Whee, Sky Bike dan Buaian Gergasi terletak di RRF.
Beliau berkata, Sky Bike dan Sky Wheel menawarkan pengalaman unik sepanjang kira-kira 100 meter pada ketinggian sekitar 30 meter dari aras tanah, manakala Buaian Gergasi pula dibina pada ketinggian 24 meter.
“Semua kemudahan ini disediakan bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung, khususnya keluarga dan golongan muda yang ingin menikmati aktiviti santai dalam suasana alam semula jadi,” katanya.
RRF boleh dikunjungi dengan kenderaan melalui laluan berturap dan dibuka setiap hari, khususnya pada hujung minggu, cuti persekolahan dan kelepasan am.
Tinjauan mendapati, kunjungan ke RRF juga boleh digabungkan dengan lawatan ke beberapa lagi tarikan berhampiran seperti Marakau Bombon, pusat ternakan payau serta pusat ternakan madu kelulut, sekali gus menjadikan kawasan itu antara destinasi persinggahan menarik bagi pelancong yang berkunjung ke Ranau.
Dengan gabungan elemen agro, rekreasi dan pelancongan keluarga, Ranau Rabbit Farm dilihat berpotensi terus berkembang sebagai salah satu produk pelancongan tempatan yang mampu menyumbang kepada ekonomi komuniti setempat serta memperkukuh industri pelancongan daerah ini.



