Mathan (kiri) ketika menyampaikan sesuatu kepada Tun Musa
KOTA KINABALU : Persatuan Perkhidmatan Paliatif Kota Kinabalu (PCAKK) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 menerusi penganjuran Konsert Makan Malam Amal pada bulan September ini.
Pengerusi Penganjur, Dr. Mathan Mohan Rao berkata, konsert itu dianjurkan bagi mengumpul dana untuk meneruskan perkhidmatan penjagaan paliatif serta memastikan kelangsungan operasi persatuan bagi membantu pesakit yang menghadapi penyakit serius mendapat akses kepada rawatan dan sokongan berkualiti.
“Kami akan mengadakan Konsert bertemakan ‘Feel The Fire, Live The Groove’ iaitu sebuah acara makan malam amal dan persembahan hiburan yang menampilkan The Australian Bruno Mars Show yang dijangka diadakan pada 19 September ini bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC).
“Program ini amat penting bagi memastikan persatuan kami dapat terus beroperasi, pada tahun ini kami menyasarkan untuk menjual sekurang-kurangnya 150 meja.
“Tahun lalu, kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM250 ribu untuk persatuan dan tahun ini pula, sasaran kami adalah sekitar RM300 ribu bagi memastikan persatuan ini dapat terus beroperasi dan meneruskan usaha membantu masyarakat.
“Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan home care dan day care serta membantu pesakit yang menghidap pelbagai penyakit yang tidak dapat disembuhkan, bukan sahaja kanser tetapi juga penyakit seperti Alzheimer, Parkinson, penyakit jantung, penyakit buah pinggang serta geriatric,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Beliau menjelaskan, dana tersebut turut digunakan untuk melatih sukarelawan agar mereka lebih berkemahiran dalam menjaga dan membantu pesakit.
“Secara keseluruhannya, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM600 ribu setahun bagi menampung kos operasi persatuan, termasuk seorang doktor sepenuh masa, empat jururawat, dua kakitangan pentadbiran serta seorang pemandu,” jelasnya.
Tambahnya, PCAKK turut merancang untuk memiliki premis sendiri pada masa akan datang dan sedang berusaha mendapatkan sokongan dana bagi merealisasikan perancangan tersebut.
Sementara itu, Patron Penjagaan Paliatif, Meng Tan berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk menjemput Tun Musa ke majlis makan malam amal berkenaan./Penerangan–



