Pegawai Penguatkuasaan KPDN Labuan ketika mengeluarkan kompaun kepada peniaga restoran.
LABUAN:Seorang pengusaha restoran menerima padah apabila dikenakan tindakan kompaun oleh penguatkuasa KPDN Wilayah Persekutuan Labuan kerana didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan di premisnya.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil atas aduan orang awam dan hasil pemeriksaan mendapati peniaga tersebut melakukan kesalahan tersebut.
Kesalahan yang dilakukan itu sekaligus menafikan hak pengguna mendapatkan maklumat harga yang jelas sebelum membuat pembelian.
“Tindakan kompaun serta-merta telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dikuatkuasa bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723]”, katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, jika sabit kesalahan beh dikenakan denda sehingga RM50, 000 bagi individu dan RM100, 000 bagi pertubuhan mengikut Akta 723Akta.
Junaidah turut mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi melindungi pengguna serta memastikan urusan perdagangan dijalankan secara telus dan adil.



