TEKUN……..Sebahagian penduduk Kg. Napong 1, sedang giat menjalankan tugas pembersihan Dewan Mini dengan tekun serta semangat kerjasama.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Napong 1 terus diperkukuhkan menerusi Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan di Dewan Mini Kampung Napong 1, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Napong 1, Hamrrih Johnny, dengan penyertaan penduduk kampung yang hadir secara sukarela bagi menjayakan aktiviti kemasyarakatan tersebut.
Menurut Hamrrih, program itu bertujuan memastikan kebersihan dan keceriaan kawasan kampung sentiasa terpelihara, selain memupuk semangat kerjasama serta rasa tanggungjawab dalam kalangan penduduk terhadap kemudahan awam.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta semangat muafakat dalam kalangan masyarakat kampung,” katanya ketika dihubungi.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah kerja-kerja pembersihan di bahagian dalam dan luar Dewan Mini Kampung Napong 1 yang menjadi lokasi utama penganjuran pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti penduduk setempat.
Selain itu, peserta turut bergotong-royong membaiki pintu tandas dewan yang mengalami kerosakan bagi memastikan kemudahan tersebut berada dalam keadaan baik serta selesa digunakan oleh orang ramai.
Aktiviti turut diperluaskan dengan kerja-kerja memungut sampah di sepanjang jalan utama kampung bermula dari kawasan perumahan penduduk hingga ke simpang Netunu.
Usaha berkenaan berjaya mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, kemas dan selamat, sekali gus mencerminkan komitmen penduduk Kampung Napong 1 dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan komuniti.
Hamrrih turut merakamkan penghargaan kepada semua penduduk yang meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan program tersebut.
Beliau berharap semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditunjukkan dapat terus diperkasakan sebagai asas kepada pembangunan dan keharmonian Kampung Napong 1 pada masa hadapan.
–



