ADVERTISEMENTspot_img

Pesara Kerajaan Sabah Ranau Terus Perkukuh Perpaduan Melalui Aktiviti Komuniti

Datuk Jonathan Yasin (tengah) bersama Datuk Rusdin Riman (kiri) melakukan gimik menuai padi sempena perasmian Sambutan Pesta Kaamatan PPKS Ranau dan Balai Terbuka DCC Ranau sambil diperhatikan Pengerusi Pelaksana Program, Fadzidah Saigol (kanan), di Ranau, hari ini.

RANAU: Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Ranau terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahlinya serta komuniti setempat.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, berkata kejayaan persatuan itu menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan membuktikan semangat kerjasama dan permuafakatan yang kukuh dalam kalangan ahlinya tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan fahaman politik.

Beliau berkata nilai perpaduan, persaudaraan dan keharmonian yang dipupuk menerusi aktiviti persatuan perlu terus dikekalkan demi kesejahteraan masyarakat.

“Inilah semangat yang harus kita pertahankan dan teruskan demi memupuk persaudaraan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan PPKS Ranau bertemakan ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ yang turut diserentakkan dengan perasmian Balai Terbuka Jawatankuasa Perhubungan Daerah (DCC) PPKS Ranau, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Jonathan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk PPKS Ranau, selain sumbangan RM10,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman.

Menurut beliau, peruntukan berjumlah RM20,000 itu dijangka dapat disalurkan kepada persatuan berkenaan pada September depan bagi membantu membiayai pelaksanaan program serta aktiviti DCC Ranau.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan persatuan dan menyokong usaha mereka melaksanakan pelbagai program yang bermanfaat kepada ahli,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DCC Ranau, Amin Hamid, merakamkan penghargaan kepada Jonathan dan Rusdin atas sumbangan yang diberikan bagi menaik taraf kemudahan Balai Terbuka DCC.

Beliau berkata DCC Ranau yang dianggotai lebih 200 pesara kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa komited melaksanakan aktiviti yang mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli.

“Walaupun kemudahan balai ini masih dalam proses penambahbaikan, ia tetap menjadi pusat aktiviti persatuan dan tempat berkumpul ahli bagi pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

Amin berkata selain sambutan Pesta Kaamatan, DCC Ranau turut menganjurkan pelbagai program kebudayaan dan perayaan termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, Krismas serta Tahun Baharu Cina sebagai usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Majlis yang dihadiri lebih 100 ahli DCC itu turut diserikan dengan pelbagai acara kebudayaan termasuk persembahan koir Kaamatan, pertandingan menyumpit kategori lelaki dan wanita, persembahan paluan gong serta nyanyian karaoke.

Turut hadir mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Kundasang, Karim Adam; mantan Pegawai Daerah Ranau, Datuk Faimin Kamin bersama isteri; Penolong Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Zita Fedelis; Pegawai Pemantau Projek Parlimen Ranau, Dominik Kasuman serta rombongan Ahli Jawatankuasa PPKS dari Kota Kinabalu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN