Mursalin (tengah) bersama Jonathan dan yang lain dalam gambar berkumpulan selepas mesyuarat
RANAU: RANAU: Ketua Polis Daerah Ranau, YDH Supt. Mursalin Mahmud, diiringi barisan Ketua Bahagian, pegawai kanan serta anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Parlimen P.179 Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin, di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, hari ini. Kunjungan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama IPD Ranau kepada beliau bagi tahun 2026 dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Ranau dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ke-15 (JKPK).
Kunjungan hormat ini adalah atas inisiatif Ketua Polis Daerah Ranau bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara IPD Ranau dan Pejabat Parlimen P.179 Ranau. Kehadiran Ketua Polis Daerah Ranau bersama rombongan telah disambut mesra oleh YB Datuk Jonathan Yasin serta barisan pegawai dan kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.179 Ranau.
Dalam kunjungan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di samping membincangkan usaha-usaha penambahbaikan yang dapat dilaksanakan demi kepentingan penduduk di daerah Ranau. Antaranya seperti trend peningkatan kes jenayah di daerah Ranau khususnya aktiviti penipuan (scammer) dalam talian yang semakin membimbangkan terutamanya melibatkan pelaburan palsu, penginapan (homestay) di Kundasang serta penipuan pembelian atas talian.
Selain itu, Ketua Polis Daerah Ranau turut menjelaskan mengenai usaha IPD Ranau sejak awal tahun 2025 telah meletakkan “Satu Polis, Satu Kampung” setiap kampung di daerah Ranau melalui pendekatan Community Policing untuk menangani masalah jenayah di peringkat akar umbi, memupuk kejiranan selamat, serta mengeratkan hubungan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat.
Ketua Polis Daerah juga menyatakan komitmen IPD Ranau akan memberi kerjasama secara berterusan kepada Pejabat Parlimen P.179 Ranau dan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, serta masyarakat dalam usaha mencegah dan membanteras kegiatan jenayah bagi memastikan keselamatan dan keamanan di daerah Ranau sentiasa terpelihara.
Pertemuan ini dilihat sebagai langkah proaktif IPD Ranau dalam memastikan jalinan kerjasama yang sedia terjalin terus diperkukuh demi kepentingan masyarakat, khususnya dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan awam.
Sepanjang pertemuan, kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu serta cabaran semasa yang dihadapi, khususnya melibatkan aspek keselamatan, pengurusan kes dan koordinasi antara agensi di Ranau.
Diakhir pertemuan, Datuk Jonathan Yasin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Ketua Polis Daerah Ranau bersama rombongan diatas kunjungan hormat serta taklimat keselamatan yang disampaikan. Beliau juga memberikan respon positif dan sokongan kepada IPD Ranau terhadap sebarang usaha pelaksanaan program pencegahan jenayah bersama Jabatan dan agensi kerajaan serta komuniti setempat di daerah Ranau.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh YDH Supt. Mursalin bin Mahmud, Ketua Polis Daerah Ranau kepada YB Datuk Jonathan Yasin sebagai tanda penghargaan dan simbolik hubungan erat antara kedua-dua pihak.



