KOTA KINABALU: Peningkatan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan pendekatan rundingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membawa hasil nyata kepada negeri itu, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata, pengumuman tersebut menunjukkan usaha berterusan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam memperjuangkan hak-hak Sabah melalui saluran rundingan dan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, peningkatan bayaran interim itu sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam memperjuangkan hak Sabah, khususnya berkaitan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hak Sabah tidak hanya diukur melalui retorik politik atau kenyataan beremosi di media sosial, sebaliknya melalui hasil yang berjaya diperoleh untuk negeri dan rakyat.
“Pengumuman ini membuktikan bahawa pendekatan rundingan yang dipilih oleh kerajaan negeri dan GRS mampu menghasilkan kemajuan yang nyata dalam usaha menuntut hak Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam berkata, proses memuktamadkan tuntutan hak Sabah termasuk pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan merupakan perkara yang kompleks kerana melibatkan aspek perundangan, fiskal, pentadbiran serta hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berkata rundingan yang berterusan memerlukan kesabaran, ketelitian dan persefahaman antara kedua-dua pihak bagi memastikan penyelesaian yang dicapai dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat jangka panjang kepada Sabah.
Katanya, pendekatan yang terlalu konfrontasi atau berasaskan sentimen semata-mata tidak semestinya mampu menghasilkan keputusan yang diharapkan rakyat.
“PGRS dan GRS memilih pendekatan yang matang dengan terus tegas mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan ini membolehkan rundingan diteruskan dan membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih konstruktif, termasuk peningkatan bayaran interim yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata walaupun bayaran interim RM1.5 bilion itu bukan penyelesaian muktamad, ia merupakan perkembangan penting yang menunjukkan tuntutan Sabah terus mendapat perhatian dan komitmen daripada Kerajaan Persekutuan.
Nizam turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah kini bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak, sebaliknya hanya menunggu pemuktamadan mekanisme serta kaedah pelaksanaannya.
Katanya, perkembangan tersebut merupakan antara pencapaian penting dalam sejarah perjuangan menuntut hak Sabah di bawah MA63.
Beliau berkata rakyat Sabah perlu menilai usaha kerajaan negeri secara adil kerana rundingan dan tuntutan berkaitan hak negeri itu tidak pernah terhenti, malah hasilnya semakin dapat dilihat secara berperingkat.
“PGRS akan terus menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan untuk memuktamadkan pelaksanaan hak 40 peratus ini dengan segera, telus dan adil selaras dengan semangat MA63.
“Perjuangan hak Sabah memerlukan keberanian dan kebijaksanaan. Ketegasan perlu disertai strategi, manakala suara rakyat perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata, bukan sekadar slogan,” katanya.
Beliau menegaskan pengumuman peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion membuktikan bahawa pendekatan rundingan yang dipilih GRS bukanlah satu kelemahan, sebaliknya kaedah yang berkesan dalam membawa manfaat kepada Sabah dan rakyatnya.



