ADVERTISEMENTspot_img

Ewon alu-alukan komitmen PM laksana Hak 40% Sabah, bayaran interim dinaikkan kepada RM1.5 bilion

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk peningkatan amaun pembayaran interim daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pengumuman itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan memenuhi tuntutan berkaitan hak hasil Sabah secara berperingkat sementara rundingan pemuktamadan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus dilaksanakan.

“Bagi pihak UPKO, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk melaksanakan hak 40 peratus Sabah serta keputusan meningkatkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Penampang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, hari ini.

Ewon berkata, UPKO akan terus menyokong usaha yang menjurus kepada pemulihan hak-hak Sabah berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, beliau menyifatkan Kaamatan sebagai platform penting untuk memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sabah.

“Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga simbol kesyukuran, perpaduan dan identiti rakyat Sabah yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Ewon mengulas kenyataan Perdana Menteri mengenai komitmen Kerajaan Persekutuan melaksanakan hak 40 peratus Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Anwar dalam ucapannya berkata, rundingan yang sedang dijalankan ketika ini adalah untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaannya, termasuk aspek perundangan dan kewangan yang berkaitan dengan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah.

Katanya lagi sementara rundingan dimuktamadkan, Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan pembayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN