Datuk Rusdin (kiri) semasa sambutan Pesta Kaamatan DUN Paginatan yang diadakan di Kilimu, baru-baru yang dirasmikan Datuk Armizan Mohd Ali (kanan)
BULAN Mei sentiasa membawa hembusan suasana yang berbeza di Sabah, khususnya di kawasan tanah tinggi Ranau. Di sinilah, dalam wilayah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan yang dibelai kedinginan Gunung Kinabalu serta disuburkan oleh aliran sungai yang jernih, Pesta Kaamatan diraikan bukan sekadar sebagai acara tahunan, tetapi sebagai sebuah institusi kehidupan yang merentasi generasi.
Kaamatan bukan hanya tentang pesta, pakaian tradisional atau acara kebudayaan. Ia adalah sejarah yang dihidupkan kembali, lambang identiti masyarakat Dusun, serta jambatan yang menghubungkan warisan nenek moyang dengan generasi muda yang sedang meniti arus kemodenan.
Tokoh yang berkongsi pandangan mendalam mengenai makna Kaamatan ini ialah Datuk Rusdin Bin Riman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan. Sebagai seorang anak jati Ranau yang membesar dalam lingkungan budaya Dusun, beliau melihat Kaamatan bukan sahaja daripada sudut kepimpinan masyarakat, malah daripada pengalaman hidup yang dekat dengan sawah padi, gotong-royong kampung dan nilai persaudaraan komuniti.
Datuk Rusdin Bin Riman merupakan seorang ahli politik tempatan dan bekas penjawat awam kanan dari Sabah. Sebelum menceburi arena politik secara aktif, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri Sabah termasuk sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah dan Bendahari Negeri.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah bagi pelbagai organisasi berkaitan kerajaan negeri seperti Pengerusi Saham Sabah Bhd, Timbalan Pengerusi Progressive Insurance Bhd, Lembaga Pengarah Syarikat Penerbangan Sabah dan Kumpulan Syarikat Desa melibatkan Desa Lestari serta Desa Cattle. Hari ini, beliau membawa wawasan pembangunan luar bandar yang menekankan aspek pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pembangunan komuniti mampan di Paginatan.
Kaamatan dan Akar Kesyukuran
Menurut Datuk Rusdin, generasi muda perlu memahami bahawa Kaamatan bukan sekadar bulan hiburan dan cuti umum.Secara literal, katanya, perkataan “Kaamatan” berasal daripada kata akar omot dalam bahasa Dusun yang membawa maksud “tuai” atau “menuai”.“Kaamatan secara ringkasnya bermaksud musim menuai.
Tetapi maknanya jauh lebih besar daripada itu. Ia adalah memori kolektif bangsa kita dan simbol jati diri masyarakat sejak turun-temurun,” katanya.

Datuk Rusdin Riman, ADUN N38 Paginatan
Beliau menjelaskan bahawa masyarakat Dusun pada zaman dahulu tidak sekadar meraikan hasil tuaian dengan hiburan semata-mata. Selepas musim menuai, mereka akan melaksanakan ritual kesyukuran kepada Kinorohingan atas hasil bumi yang dikurniakan, selain memohon keberkatan dan jaminan makanan untuk tahun berikutnya.
Bagi masyarakat di Paginatan yang masih kuat berpegang kepada budaya pertanian, nilai kesyukuran itu terus hidup sehingga hari ini.“Tanpa rahmat daripada Tuhan dan tanpa bumi yang subur, titik peluh manusia tidak akan membuahkan hasil,” katanya.
Menurut beliau, konsep kesyukuran dalam Kaamatan kini berkembang seiring perubahan zaman. Jika dahulu masyarakat bersyukur kerana lumbung padi penuh, hari ini generasi muda yang bekerja di luar Paginatan pula pulang ke kampung untuk mensyukuri kerjaya, keselamatan keluarga dan kehidupan yang lebih baik.
“Bentuk rezeki berubah, tetapi rasa terima kasih itu tetap sama. Itulah keindahan adaptasi budaya kita,” katanya.“Misompuru Miiso Ginawo” dan Semangat Perpaduan Paginatan terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang agama dan latar belakang, namun tetap hidup dalam suasana harmoni yang cukup unik.
Menurut Datuk Rusdin, budaya toleransi di Sabah khususnya di Paginatan bukan sesuatu yang dipelajari secara formal, tetapi telah menjadi amalan hidup sejak turun-temurun.
Beliau menjelaskan bahawa masyarakat Dusun di kawasan itu sangat berpegang kepada pepatah “Misompuru miiso ginawo” yang membawa maksud bersatu hati, sejiwa dan seia sekata.
Apabila tiba musim Kaamatan, masyarakat Islam dan Kristian akan bersama-sama mendirikan khemah, menyediakan juadah dan menjayakan sambutan tanpa mengira perbezaan agama.
“Hubungan masyarakat kita ibarat sungkad tukad, iaitu jiran tetangga yang akrab bagai isi dengan kuku. Di meja makan sewaktu Kaamatan, tiada siapa bertanya apa agama atau kaum seseorang. Kita meraikan keinsanan bersama,” katanya.
Menurut beliau, Kaamatan menjadi ruang yang meruntuhkan tembok prejudis dan mengukuhkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.
“Mitatabang” dan Kekuatan Gotong-Royong
Dalam dunia moden yang semakin individualistik, masyarakat Paginatan masih mengekalkan budaya mitatabang atau semangat tolong-menolong secara kolektif.
Datuk Rusdin berkata, budaya tersebut paling jelas dapat dilihat menjelang sambutan Kaamatan apabila seluruh komuniti berganding bahu membuat persiapan. Golongan lelaki dan belia akan masuk ke hutan mencari buluh atau kayu bagi membaiki balai raya serta mendirikan pentas kebudayaan, manakala kaum wanita pula bergotong-royong menyediakan pelbagai makanan tradisional.
Antara sajian yang sering disediakan termasuk linapot, hinava, bosou dan lihing.“Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka berpeluh bersama-sama membina sesuatu untuk komuniti, mereka belajar tentang tanggungjawab sosial, kepimpinan dan semangat bekerjasama,” katanya.
Menurut beliau, nilai seperti toleransi dan pembinaan karakter yang lahir melalui mitatabang merupakan modal insan yang tidak mampu dipelajari hanya melalui buku teks. Kinomulok Nunuk Ragang dan Sugandoi Sebagai Warisan Budaya Acara seperti Kinomulok Nunuk Ragang dan Sugandoi pula dilihat sebagai medium penting dalam mengangkat warisan budaya masyarakat Dusun.
Datuk Rusdin berkata, Kinomulok Nunuk Ragang bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi sebuah acara tradisi yang menghormati nilai-nilai murni dan keanggunan wanita sejak zaman awal peradaban masyarakat Dusun. Menurut beliau, peserta pertandingan bukan sahaja dinilai berdasarkan rupa paras, malah turut dinilai dari sudut akhlak, kebijaksanaan, keberanian dan kemampuan bertutur dalam bahasa ibunda.
“Pertandingan ini mendidik generasi muda supaya kembali mendalami bahasa dan identiti budaya mereka,” katanya.
Begitu juga dengan pertandingan Sugandoi yang membuka ruang kepada komposer dan penulis lirik tempatan menghasilkan lagu dalam bahasa Dusun.“Ia adalah pelestarian warisan dalam bentuk yang paling interaktif dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Kaamatan Sebagai Pemangkin Ekonomi dan Pelancongan Budaya.
Menurut Datuk Rusdin, Kaamatan turut memberi impak besar terhadap ekonomi masyarakat tempatan.Beliau berkata, sambutan Kaamatan telah berkembang menjadi salah satu produk pelancongan budaya dan pemangkin ekonomi mikro yang penting di Sabah.
Permintaan terhadap pakaian tradisional, tenunan Rinugading, rantai manik dan alat muzik tradisional seperti gong serta sompoton meningkat dengan ketara sepanjang musim perayaan.Keadaan itu secara langsung memberi peluang pendapatan tambahan kepada artisan dan penduduk kampung. Selain itu, gerai-gerai tamu yang dibuka sempena Kaamatan turut menjadi ruang pendidikan sosial kepada kanak-kanak.
“Mereka belajar tentang pertukaran wang, bagaimana hasil tani dipasarkan serta kemahiran komunikasi apabila berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran pelancong dari Semenanjung Malaysia dan luar negara ke Ranau juga memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai dunia luar dan meningkatkan rasa bangga terhadap budaya sendiri.
“Kaamatan membuktikan bahawa budaya tradisional mempunyai nilai komersial yang tinggi jika diurus dengan baik tanpa mengorbankan keasliannya,” katanya.
Kaamatan Paginatan 2026 dan Falsafah Aktiviti Tradisi
Sempena sambutan Kaamatan Paginatan 2026, pelbagai acara tradisi bakal dianjurkan termasuk tarik tali, milokod, Sugandoi, pertandingan magagong dan Kinomulok Nunuk Ragang.
Menurut Datuk Rusdin, setiap aktiviti tersebut membawa nilai murni yang tersendiri dalam falsafah budaya Dusun. Acara tarik tali misalnya melambangkan mitatabang atau semangat bekerjasama kerana kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada kesepaduan semua ahli.
Sukan tradisi milokod pula membawa nilai piobpinaian iaitu persaudaraan dan persaingan sihat tanpa dendam. Pertandingan Sugandoi mencerminkan kointutunan atau jati diri bangsa, manakala magagong melambangkan miiso ginawo iaitu kesepakatan dan keharmonian.
Sementara itu, Kinomulok Nunuk Ragang membawa nilai poomitanan yang bermaksud menjadi suri teladan yang baik.
“Setiap aktiviti ini mempunyai pengajaran kemanusiaannya yang tersendiri dan bukan sekadar pelengkap sambutan perayaan,” katanya.
“Sukod Wagu” Sebagai Pewaris Warisan
Datuk Rusdin turut menekankan bahawa kanak-kanak merupakan komponen paling penting dalam memastikan kelangsungan Kaamatan sebagai warisan budaya.
Beliau menyifatkan Kaamatan sebagai “bilik darjah kebudayaan terbuka” terbesar bagi generasi muda di Paginatan. Menurut beliau, ibu bapa perlu melibatkan anak-anak dalam aktiviti menanam padi dan kehidupan kampung supaya mereka memahami nilai sebenar di sebalik Kaamatan.
“Bawa mereka turun ke sawah. Biarkan mereka merasai lumpur dan kepayahan menanam benih,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kehidupan di sawah sebenarnya melatih kanak-kanak untuk hidup bersama secara inklusif tanpa mengira usia dan latar belakang. Kadangkala mereka saling membantu mengangkat semaian padi, kadangkala juga berlaku perselisihan kecil. Namun akhirnya mereka belajar membantu satu sama lain dan membina empati.
“Merekalah golongan Sukod Wagu atau generasi pelapis. Jika kita gagal mengajar mereka nilai kesusahan dan persaudaraan hari ini, Kaamatan kelak hanya akan tinggal sebagai cengkerang kosong,” tambah Datuk Rusdin Riman.



