ADVERTISEMENTspot_img

PDRM Sabah terus perkukuh keselamatan komuniti

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah bersama Jonathan dan lain-lain dalam majlis itu

RANAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah terus memperkukuhkan keselamatan komuniti menerusi perasmian Pondok Polis Komuniti (PPK) Bundu Tuhan, Polis Daerah Ranau yang disempurnakan oleh DCP Datuk Abdul Rani bin Alias, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni itu turut dihadiri YBhg Datin Rusnah binti Zakaria, Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sabah, pemimpin-pemimpin masyarakat, wakil rakyat, ketua-ketua jabatan, pesara polis serta masyarakat setempat.

Perasmian PPK Bundu Tuhan ini menjadi satu lagi langkah proaktif PDRM Sabah dalam mempertingkatkan aspek keselamatan, memperkukuh hubungan strategik antara polis dan komuniti serta meningkatkan keberkesanan rondaan dan pemantauan di kawasan setempat.

Dalam ucapannya, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah menzahirkan harapan agar hubungan erat antara polis dan masyarakat akan terus diperkasakan demi memastikan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negeri Sabah sentiasa terpelihara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam merealisasikan penubuhan pondok polis komuniti tersebut demi manfaat masyarakat setempat dan generasi akan datang.

Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj, deklamasi sajak, gimik pelancaran, sesi menandatangani plak perasmian serta lawatan rasmi ke bangunan Pondok Polis Komuniti Bundu Tuhan.

Hadir sama, YB Datuk Jonathan Yasin, Ahli Parlimen P.179 Ranau, YB Datuk Haji Rusdin Bin Riman, Adun N.38 Panginatan, SAC Datuk Abdul Fuad bin Abdul Malek, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, SAC Datuk Ahsmon bin Bajah, Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, SAC Datuk Nor Omar Sappi, Komander Briged Sabah PGA, Ketua-Ketua Jabatan/Formasi serta wakil, Ketua-Ketua Polis Daerah, lPegawai Kanan, Pegawai Rendah Polis, Pegawai Awam, Pemimpin Masyarakat, masyarakat setempat serta rakan media.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN