PENGHARGAAN……..Datuk Jonathan menerima cenderahati disampaikan Albert sambil diperhatikan yang lain.
Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-12 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Ranau berlangsung meriah di Rimbunan Hijau Residence di sini baru-baru ini dengan menghimpunkan ahli-ahli veteran tentera dari sekitar daerah ini bagi membincangkan perkembangan serta hala tuju persatuan.
Majlis berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Jonathan Yasin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pilihan Khas Malaysia (JKPK).
Ketibaan beliau disambut kepimpinan PVATM Cawangan Ranau bersama ahli-ahli persatuan dalam suasana penuh muhibah dan semangat kekeluargaan.
Dalam ucapan perasmiannya, Jonathan berkata jasa dan pengorbanan anggota tentera dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara tidak seharusnya dilupakan kerana mereka merupakan benteng utama negara dalam memastikan keamanan dan kestabilan terus dinikmati rakyat.
Beliau berkata golongan veteran tentera turut memainkan peranan penting dalam masyarakat menerusi pengalaman, disiplin dan semangat patriotisme yang tinggi sekali gus mampu menjadi contoh terbaik kepada generasi muda.

KENANGAN……..Para Veteran Angkatan Tentera Malaysia, merakam gambar bersama Datuk Jonathan (tengah) sempena majlis itu.
“Semua pihak perlu terus memberi perhatian terhadap kebajikan veteran tentera termasuk dari segi bantuan sosial, peluang ekonomi dan sokongan moral agar kehidupan mereka terus terbela,” katanya.
Pada majlis sama, Jonathan turut mengumumkan bantuan dana sebanyak RM20,000 kepada PVATM Cawangan Ranau bagi membantu pelbagai aktiviti serta kegunaan persatuan demi manfaat ahli-ahlinya.
Turut diadakan ialah sesi ramah mesra dan perbincangan berkaitan isu kebajikan veteran tentera termasuk keperluan bantuan sosial, peluang ekonomi serta sokongan berterusan kepada bekas anggota keselamatan negara.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah persembahan deklamasi sajak oleh Azman Mohd Yuni Masidi, penyampaian khairat kematian, sumbangan kepada kanak-kanak OKU, duit raya kepada anak-anak veteran selain santai karaoke dan cabutan tiket bertuah.
Hadir sama Yang Dipertua PVATM Bahagian Negeri Sabah merangkap Naib Ketua Cawangan Ranau Ruhimin Japar, Pengerusi Tetap Jabay Surugau, Ketua Cawangan Albert Chang, Timbalan Ketua Cawangan Keningau Norbert Roger Jupih serta ahli keluarga veteran dan rombongan staf Pejabat Parlimen Ranau.



