ADVERTISEMENTspot_img

Sabah Amal Model Pertumbuhan Seimbang Tangani Isu Alam Sekitar dan Pembangunan – Hajiji

Hajiji semasa berucap pada sidang kemuncak program tersebut

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah mengamalkan pendekatan model pertumbuhan seimbang dalam usaha menangani isu alam sekitar dan pembangunan di negeri ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah tidak mahu pembangunan memusnahkan alam sekitar, namun Sabah juga tidak boleh menerima pendekatan idealisme alam sekitar yang melambatkan kemajuan rakyat.


“Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini dan kita tidak mahu pembangunan yang melulu, tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan yang seimbang.


“Antaranya pertumbuhan disiplin, pemuliharaan dengan nilai, pelaburan dengan tanggungjawab, peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya semasa berucap pada sidang kemuncak Powering Green Growth: Sabah and Malaysia in the Age of Sustainability (WGSS) di sini, pada Isnin.


Jelas Hajiji, walaupun Sabah sebuah negeri yang kecil dalam sebuah negara yang kecil, namun Sabah mempunyai kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia hari ini.


“Kita dikurniakan modal semula jadi yang kaya, biodiversiti yang luar biasa, sumber daratan dan maritim yang luas, mempunyai potensi tenaga, kedudukan yang strategik serta kestabilan politik dan mempunyai generasi muda yang bersedia membentuk ekonomi masa depan.


“Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti yang penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini.


“Hari ini Sabah diiktiraf sebagai pemimpin penting dalam pemuliharaan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara dan oleh sebab itu, Sabah berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya.


Tambah Hajiji, Sabah sebelum ini sudah mengorak langkah dalam usaha melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan sebahagian daripada ekosistem terkaya di rantau ini. 


“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” ujarnya.


Jelasnya, penganjuran WGSS merupakan platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.


Program yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun./Penerangan


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN