KOTA KINABALU: Badan Penyelaras KDCA Ranau telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Badan KDCA Ranau, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Setiausaha Badan Penyelaras KDCA Ranau, Evelyn Masutin itu merupakan salah satu aktiviti tahunan pihak mereka menjelang sambutan Pesta Kaamatan.
Menurut Evelyn, kunjungan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim selain menyatakan sokongan kepada kepimpinan Dr Joachim dalam memperkasakan sambutan Kaamatan di negeri ini.
“Setiap tahun menjelang Pesta Kaamatan, kami akan mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Badan KDCA Ranau, iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
“Kebetulan pada tahun ini beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaamatan Peringkat Negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Dr Joachim atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
Evelyn berkata, pihak KDCA Ranau yakin pengalaman serta kepimpinan Dr Joachim akan terus menyumbang kepada kejayaan sambutan Pesta Kaamatan dan pembangunan masyarakat di Sabah.
Sementara itu, Dr Joachim menghargai kunjungan berkenaan dan berharap agar segala persiapan KDCA Ranau di rumah tradisi Ranau sempena sambutan Kaamatan pada 30 dan 31 Mei nanti berjalan lancar.
Beliau turut berharap agar sambutan tersebut dapat berlangsung dengan meriah serta terus menjadi platform memperkukuhkan perpaduan dan memelihara warisan budaya masyarakat Kadazandusun Murut di negeri ini.
Katanya, semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipupuk selaras dengan semangat Kaamatan yang menjadi simbol perpaduan rakyat Sabah.



