ADVERTISEMENTspot_img

Guru Tonggak Pembentukan Modal Insan Berkualiti – Joachim

80 TAHUN….Joachim melancarkan Buku Jubli 80 Tahun Penubuhan SK St. Catherine Inanam, sambil disaksikan Guru Besar dan tetamu jemputan lain.

KOTA KINABALU: Guru memainkan peranan amat penting dalam membimbing pelajar menjadi insan berguna serta melahirkan modal insan yang berkualiti demi masa depan negara.

Timbalan Ketua Menteri I, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata, jasa dan pengorbanan guru tidak ternilai dalam memartabatkan institusi pendidikan serta membentuk generasi berilmu dan berakhlak.

“Tanpa sosok seorang guru, tidak mungkin institusi sekolah mampu melahirkan seorang pelajar yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perayaan Jubli 80 Tahun Penubuhan, Kaamatan, Gawai dan Hari Guru peringkat Sekolah Kebangsaan St. Catherine (M) Kota Kinabalu, di Dewan Fr Joseph Dapoz, sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Guru Besar SK St. Catherine Juanes Masammin,

Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah SK St. Catherine (M), Paul Augustine, Yang Dipertua PIBG SK St. Catherine (M)
Dr. Jain Yassin, Pengerusi Alumni SK St. Catherine (M), Datuk Eric Majimbun, serta wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Michelle Lee Chui Ning.

Katanya, sambutan jubli tersebut membuktikan komitmen sekolah dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta membentuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.

Beliau berkata, sambutan Kaamatan, Gawai dan Hari Guru yang diraikan bersama turut mencerminkan keharmonian serta kepelbagaian budaya masyarakat di Sabah.

“Sekolah bukan sahaja tempat menimba ilmu, tetapi juga medan memupuk perpaduan, nilai hormat-menghormati dan semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan pelancaran Buku Jubli 80 Tahun Penubuhan SK St. Catherine Inanam, persembahan pentas, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti lain melibatkan warga sekolah dan ibu bapa.

Lebih 200 pelajar serta warga sekolah hadir memeriahkan majlis tersebut.- Ateng

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN