Anggota bomba bersama individu-individu yang diselamatkan.
KOTA BELUD: Lima individu yang terkandas di seberang sungai di Kampung Melangkap di sini berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dalam satu operasi khidmat kemanusiaan yang dijalankan sejak petang semalam hingga awal pagi tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian NG999 pada jam 4.48 petang, Rabu.
Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud bersama sebuah jentera FRT, sebuah EMRS dan sebuah kenderaan Vigo digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK II Hamizan Amirul berkata, setibanya pasukan di lokasi pada jam 6.33 petang, didapati benar terdapat lima mangsa dalam keadaan selamat namun tidak dapat menyeberangi sungai berikutan arus deras.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menyusuri tebing sungai sebelum berjaya menemui kesemua mangsa pada jam 12.45 tengah malam, kira-kira lima kilometer dari jalan utama,” katanya.
Beliau berkata, operasi berdepan pelbagai kesukaran termasuk laluan berbukit dan curam menuju ke lokasi mangsa selain lampu suluh pasukan yang kehabisan cas.
Katanya lagi, ketiadaan liputan GIRN dan talian telefon turut menyukarkan komunikasi sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat sebelum dibawa keluar ke kawasan selamat bermula jam 5.50 pagi.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Hamizan Amirul manakala Komander Operasi Kanan ialah Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk. MA.



