ADVERTISEMENTspot_img

JPN Sabah Nafi Dakwaan Tular Guru Pikul Beras Ke Asrama di SK Pinawantai Ranau

Datuk Raisin Saidin

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menafikan dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, Ranau dengan isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata pihaknya amat berdukacita dengan penyebaran maklumat tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan imej institusi pendidikan di negeri ini.

Beliau menjelaskan terdapat dua sekolah di Sabah yang menggunakan nama sama iaitu SK Pinawantai di Ranau dan SK Pinawantai di Kudat, namun kedua-dua sekolah tersebut tidak mempunyai kemudahan asrama.

Katanya, kedua-dua sekolah juga terletak berhampiran jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan persendirian untuk hadir bertugas.

“Justeru, tidak timbul isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah seperti yang didakwa dalam hantaran tular berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Guru Besar SK Pinawantai, Ranau turut membuat penafian rasmi berhubung dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa tiada guru bernama Farhan bertugas di sekolah itu.

Sehubungan itu, JPN Sabah menegaskan bahawa kenyataan yang tular di media sosial berkaitan isu berkenaan adalah tidak benar.

Dalam pada itu, Raisin menyeru orang ramai khususnya pengguna media sosial agar lebih bertanggungjawab dan berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang maklumat berkaitan pendidikan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPN Sabah sentiasa komited dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah demi kesejahteraan murid dan warga pendidik di negeri ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN