TEPI JALAN UTAMA …SK Pinawantai Ranau
RANAU: Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai di sini tampil menafikan dakwaan tular kononnya seorang guru muda sanggup meredah hutan hampir tiga jam demi menghantar bekalan makanan kepada murid asrama di sekolah berkenaan.
Penjelasan itu dibuat selepas kisah menyayat hati mengenai seorang guru dikenali sebagai “Cikgu Farhan” tersebar luas di media sosial dan mengundang perhatian ramai netizen yang tersentuh dengan pengorbanan digambarkan berlaku di kawasan pedalaman Ranau.
Guru Besar SK Pinawantai, Roseline Liji berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku di sekolah itu.
Menurut beliau, SK Pinawantai terletak berhampiran jalan utama serta boleh diakses menggunakan kenderaan, selain tidak mempunyai kemudahan asrama seperti didakwa dalam hantaran tular tersebut.
“Kedudukan SK Pinawantai berhampiran jalan besar, tiada asrama dan boleh dihubungi menggunakan kenderaan.
“Selain itu, tiada guru bernama Farhan bertugas di SK Pinawantai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut meminta individu yang memuat naik hantaran berkenaan supaya segera menurunkannya demi menjaga nama baik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan pihak sekolah.
Terdahulu, media sosial dibanjiri perkongsian mendakwa seorang guru muda berusia 26 tahun sanggup memikul kampit beras serta barangan keperluan asas meredah laluan berlumpur dan hutan hampir tiga jam bagi memastikan murid asrama tidak terputus bekalan makanan.

MENGELIRUKAN… Gambar yang dikongsi menunjukan lokasi kejadian di SK Pinawantai Rana, Sabah.
Naratif itu turut mendakwa jalan utama ke sekolah rosak akibat cuaca buruk sejak beberapa minggu lalu sehingga menyebabkan bekalan makanan semakin berkurangan dan murid terpaksa makan ala kadar sementara menunggu bantuan tiba.
Hantaran beremosi berkenaan kemudian menjadi tular selepas disertakan gambar seorang lelaki membawa bekalan makanan sambil memakai kasut getah lusuh, sekali gus meraih simpati ramai pengguna media sosial.
Bagaimanapun, beberapa penduduk tempatan dan individu yang mendakwa berasal dari Kampung Pinawantai segera tampil mempertikaikan kesahihan maklumat tersebut menerusi ruangan komen Facebook.
“Tumpang tanya, lokasi mana ini ya? kalau tengok gambar SK Pinawantai, Ranau, Sabah? Itu kampung saya. Setahu saya SK Pinawantai, Ranau, tiada asrama di sekolah. Sila betulkan info,” kata Billie Andrew Jivinson.
“Saya orang Kg. Pinawantai, Ranau, tiada asrama di SK Pinawantai. Sekolah tepi jalan besar Ranau-Kota Merudu. Tiada jalan yang runtuh. Diharap orang yang pos masalah ini betulkan fakta,” kata Jabay Surugau.
“SK Pinawantai.. tempat anak buah saya sekolah.. setahu saya tidak ada asrama sana.. dan sekolah pun di tepi jalan raya saja.. baru-baru ini saya ada pergi sana,” jelas Nius Sapikin.
“Ini tidak betul. SK Pinawantai, Ranau tiada asrama. SK Pinawantai terletak di tepi jalan berturap. Tiada jalan kaki masuk hutan 3 kilometer ke sekolah tersebut,” kata seorang lagi netizen, Julis Lis.
Perkembangan itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi pihak berkaitan.



