ADVERTISEMENTspot_img

Program KafeTEEN Perkukuh Kesedaran Remaja Tolak Dadah: Maria Chong

TERIMA KASIH…Datuk Maria (kiri) menerima cenderhati disampaikan Shahriah selepas program KafeTEEN @LPPKN di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU: Golongan remaja diseru supaya memperkukuh jati diri serta berani membuat keputusan tepat dalam kehidupan bagi mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah.

Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Maria Chong berkata, cabaran dihadapi remaja masa kini semakin kompleks akibat pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi dan kecenderungan untuk mencuba perkara baharu yang boleh membawa kepada gejala negatif.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program KafeTEEN @LPPKN: Stay Clean Remaja, Say No To Drugs di KafeTEEN UTC Kota Kinabalu, baru-baru ini.


Menurut beliau, program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan PEMADAM itu bukan sekadar aktiviti santai, sebaliknya menjadi platform penting dalam membina kesedaran dan perubahan positif dalam kalangan remaja.


“Hari ini bukan sekadar satu program, tetapi titik permulaan kepada kesedaran, perubahan dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda,” katanya.


Maria berkata, kebanyakan individu yang terjebak dengan dadah bukan kerana lemah, sebaliknya akibat satu keputusan salah yang dianggap kecil tetapi memberi kesan besar terhadap masa depan mereka.


Sehubungan itu, beliau menegaskan kemahiran berkata tidak kepada dadah, mengawal emosi dan membuat keputusan secara bijak perlu dipupuk sejak usia remaja kerana ia menjadi penentu hala tuju kehidupan pada masa hadapan.

KENANGAN…Datuk Maria Chong (tengah) merakam gambar selepas program



Katanya, pendekatan santai menerusi program berkenaan memberi ruang selamat kepada remaja untuk berkongsi pandangan, bertanya dan memahami realiti sebenar kehidupan dengan lebih terbuka.


Beliau turut menekankan kepentingan peranan Teen Educator sebagai pembimbing rakan sebaya kerana pendekatan itu lebih mudah diterima serta mampu membina kepercayaan dalam kalangan remaja.

“Nasihat daripada rakan sendiri kadangkala lebih dekat dan mudah diterima berbanding orang dewasa. Inilah kekuatan pendekatan rakan sebaya dalam mendidik generasi muda,” katanya.


Program itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sembang santai, role play, perkongsian mengenai abstinen atau menahan diri serta sesi refleksi kendiri bagi membantu peserta meningkatkan keyakinan diri dan daya tahan.


Maria berkata pihaknya berharap program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran remaja terhadap risiko gejala sosial, memperkukuh pendidikan pencegahan dadah serta membentuk generasi muda yang berfikiran positif dan berakhlak mulia.


“Masa depan negara bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh generasi muda hari ini. Pilihlah untuk menjaga diri dan berkata tidak kepada dadah,” katanya.


Turut hadir Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Shahriah Saharom, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pegawai pendidikan daerah, pegawai PEMADAM dan LPPKN serta pelajar dari Sekolah Menengah Limbanak dan Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN