Jonathan, Fr. Ambrose dan tetamu lain memotong kek sambutan perayaan “2-dalam-1” yang diadakan di Kampung Tambiau.
RANAU: Sambutan Tadau Kaamatan dan Paskah yang diraikan bersama mampu menjadi pemangkin kepada manifestasi kesyukuran, keharmonian dan perpaduan rakyat.
Bagi mencapai hasrat tersebut, Majlis Sambutan Kaamatan dan Paskah Peringkat Paroki St Peter Claver Ranau 2026 telah diadakan di Gereja St John, Kampung Tambiau dengan penglibatan pemimpin serta masyarakat tempatan di daerah ini.
Majlis yang berlangsung penuh bermakna itu dipimpin oleh Paderi Paroki Ranau, Rev. Fr. Ambrose Michael Atang dan turut dihadiri Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Dalam ucapannya, Fr. Ambrose mengalu-alukan kehadiran semua masyarakat, khususnya umat Kristian, ke sambutan berkenaan dan berharap acara itu dapat menyemarakkan semangat solidariti dalam meraikan hasil tuaian, mengukuhkan persaudaraan serta menghormati tradisi masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Ranau (MPPR), Dr. Gofri Nenghilon berkata, sambutan “2-dalam-1” iaitu Kaamatan dan Paskah peringkat paroki yang diadakan di Gereja St John, Kampung Tambiau itu dianjurkan bagi menjimatkan sumber.

Jonathan, Fr. Ambrose dan tetamu lain menuai padi sebagai simbolik sambutan Kaamatan peringkat Paroki Ranau tahun ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan syabas kepada pihak penganjur selaku tuan rumah sambutan tahun ini kerana berjaya mengadakan majlis tersebut dengan meriah dan bermakna.
Menurutnya, semangat penganjuran sambutan seumpama itu diharap dapat diteruskan pada tahun hadapan apabila Zon Perancangan dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran majlis berkenaan.
Majlis itu turut diserikan dengan acara menuai padi oleh Jonathan, Fr. Ambrose, Dr. Gofri serta tetamu lain sebagai simbolik sambutan Kaamatan, selain acara memotong kek, persembahan nyanyian, jamuan makanan tradisional dan pelbagai acara pentas lain.
Sambutan Kaamatan dan Paskah sering diraikan bersama, khususnya di peringkat paroki gereja, sebagai lambang kesyukuran, keharmonian dan perpaduan masyarakat.
Perayaan Kaamatan atau Pesta Menuai menonjolkan budaya Kadazandusun, manakala Paskah merupakan perayaan keagamaan Kristian. Kedua-dua perayaan itu membawa mesej kegembiraan dan kesyukuran atas hasil bumi serta berkat kehidupan.



