Sekitar Program Jerayawara Skuad Antidadah 2 Roda Ranau sempena Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Daerah Ranau yang berlangsung pada Isnin.
RANAU: Seramai 30 penunggang motosikal menyertai Konvoi Jerayawara SKUAD Antidadah 2 Roda Ranau sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah 2026 yang berlangsung di Padang Bandaran, Pekan Ranau, hari ini.
Konvoi berkenaan dilepaskan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, dalam satu majlis yang turut dihadiri Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, Elmariah Chung serta Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam.
Program itu merupakan anjuran bersama AADK Sabah, AADK Daerah Ranau, SKUAD Antidadah Daerah Ranau dan Gabungan Belia Ranau, dengan matlamat memperluas kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.
Konvoi tersebut memulakan perjalanan dari Padang Pekan Ranau sebelum singgah di tiga lokasi utama iaitu Pasar Besar Ranau, Kompleks Sukan Ranau dan sekitar Kampung Lohan 1. Sepanjang laluan, peserta mengedarkan risalah pendidikan kepada orang ramai sebagai usaha meningkatkan kesedaran komuniti.
Berucap pada majlis itu, Jonathan menegaskan penyalahgunaan air ketum perlu dipandang serius berikutan kesannya yang boleh menjejaskan kesihatan, termasuk risiko kerosakan saraf otak dan buah pinggang.
Beliau berkata pihaknya turut menerima maklumat mengenai beberapa kes kematian di daerah ini yang dikaitkan dengan komplikasi buah pinggang dipercayai berpunca daripada ketagihan ketum.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar berganding bahu memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan, sekali gus memastikan masyarakat terus peka dalam membanteras gejala dadah demi kesejahteraan komuniti.
.



