Fadzil
RANAU: Penduduk Kampung Timbua, dan kawasan sekitarnya meluahkan rasa kecewa berikutan masalah rangkaian telekomunikasi yang berlarutan sejak lebih dua bulan tanpa penyelesaian yang memuaskan.
Wakil penduduk, Fadzil John Anthony, berkata, gangguan tersebut telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat setempat, termasuk urusan komunikasi, perniagaan kecil, pembelajaran pelajar serta situasi kecemasan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, penduduk berdepan dengan liputan rangkaian yang lemah, tidak stabil dan kerap terputus, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada hampir keseluruhan penduduk kampung.
“Keadaan ini amat mengecewakan kerana penduduk masih perlu membayar caj perkhidmatan walaupun kualiti rangkaian berada pada tahap yang tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, masalah tersebut bukan sahaja menjejaskan produktiviti penduduk, malah turut memberi kesan kepada pelajar yang bergantung kepada capaian internet untuk tujuan pembelajaran, selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini.
Sehubungan itu, penduduk Kampung Timbua mendesak pihak syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi menangani isu berkenaan.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuklah; menyiasat segera punca sebenar gangguan rangkaian;
melaksanakan kerja pembaikan dan penambahbaikan liputan dengan kadar segera; dan
memberi penjelasan rasmi kepada penduduk mengenai situasi yang berlaku.
Menurut Fadzil, akses kepada rangkaian telekomunikasi kini merupakan keperluan asas yang amat penting, khususnya bagi masyarakat luar bandar dalam mendepani era ekonomi digital.
“Kami berharap perkara ini tidak dipandang ringan. Sekiranya tiada tindakan segera diambil, kami tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi demi kepentingan dan kebajikan penduduk setempat,” tegas beliau.
Penduduk di kawasan tersebut juga berharap pihak berkuasa dan syarikat telekomunikasi agar dapat memberi perhatian serius serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan perkhidmatan rangkaian yang berkualiti dan stabil dapat dinikmati oleh semua.-ateng



