Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik
KOTA KINABALU: Inisiatif penubuhan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Likas menerima sokongan penuh daripada Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, yang menyifatkan projek itu sebagai langkah tepat dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Sabah.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd itu amat signifikan dalam memenuhi keperluan rawatan kardiovaskular yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurutnya, sudah tiba masanya Sabah memiliki sebuah institusi rawatan jantung yang moden, komprehensif serta dilengkapi teknologi terkini bagi memastikan akses kesihatan yang lebih baik dan berkualiti tinggi.
“Pembinaan hospital ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi peningkatan kemudahan rawatan pakar, malah mampu mengurangkan kebergantungan pesakit untuk mendapatkan rawatan di luar negeri yang melibatkan kos tinggi serta tempoh menunggu yang lama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menyifatkan lokasi di Likas sebagai amat strategik dan berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab rawatan jantung utama di Borneo.
Katanya, pembangunan itu juga diyakini mampu menarik kepakaran perubatan serta pelaburan dalam sektor kesihatan, sekali gus merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan.
“Langkah ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan kesihatan berkualiti tinggi yang setanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap seluruh rakyat Sabah dapat bersama-sama mendoakan agar perancangan dan pelaksanaan projek hospital berkenaan dipermudahkan serta berjaya direalisasikan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.



