ROZMAN
LABUAN: Datuk Rozman Isli terus diberi kepercayaan untuk kekal sebagai Yang Di-Pertua Persatuan Kedayan Wilayah Persekutuan Labuan (WAKAL) bagi penggal 2027-2029.
Beliau dipilih sebulat suara untuk terus menerajui WAKAL pada Mesyuarat Agung WAKAL kali ke 8 yang diadakan di Rumah Etnik Kedayan, di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, pada Selasa.
Sementara itu, Naib Yang DiPertua disandang oleh Supri @ Oping Abidin, Setiausaha Rahimah Lamat, Timbalan Setiausaha, Nuratikah Abu Bakar dan Bendahari Abdul Muqtadir Halim.
Manakala 10 Ahli Jawatankuasa Kecil (AJK) yang terpilih pada mesyuarat itu terdiri Sharaizah Mohd Arip, Sidi Yusof, Aswadee Ahok, Isnawady Ismail, Zurinah Matali, Yenti Gapur, Rosnie Zainal, Madzan Yunus, Adie Japar, Mohd Azlie Nasir dan Mohamad Ridzun Ibrahim sebagai Juruaudit.
Pelantikan semula Datuk Rozman sebagai YDP WAKAL mencerminkan keyakinan berterusan ahli terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui hala tuju persatuan.
WAKAL yang ditubuhkan sejak 2016 semakin aktif memperkukuh peranannya sebagai platform utama dalam memelihara dan memartabatkan warisan, kesenian serta kebudayaan kaum Kedayan.
Usaha ini turut merangkumi kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti di Labuan dan Borneo, termasuk Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.
Rozman ketika ditemui media berkata pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang melibatkan penyertaan komuniti dan pelancong telah dirancang sepanjang tahun 2026 antaranya termasuk penganjuran Pesta Tahunan Kedayan Labuan.
WAKAL juga katsnya akan terus komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil komuniti Kedayan, yang merupakan antara kelompok terawal meneroka dan membangunkan Labuan sejak dahulu hingga kini.
” Peranan ini dilihat penting dalam memastikan sejarah dan identiti komuniti terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Rumah Etnik Kedayan pula menjadi simbol kejayaan dan kebanggaan komuniti, khususnya kaum Kedayan di Labuan pada masa sama berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti serta lokasi penganjuran pelbagai program kebudayaan dan pelancongan”, katanya.
Rozman turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Labuan atas kepercayaan yang diberikan dalam mengurus operasi Rumah Etnik Kedayan.
“Kerjasama ini diharap dapat terus memperkasakan fungsi lokasi tersebut sebagai pusat aktiviti komuniti serta pemangkin kepada pembangunan pelancongan domestik dan antarabangsa di Labuan”,katanya.
Mesyuarat tersebut diakhiri dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026.
Turut hadir meraikan Jamuan Raya itu Persatuan Penggiat Media Labuan yang menjadi rakan strategik WAKAL.



