ADVERTISEMENTspot_img

CIS Sumbang RM1 Juta Kepada SAFA, Perkasa Pembangunan Bola Sepak Sabah

Sumbangan….Japlin menyerahkan mock cheque sumbangan RM1 juta dari CIS kepada SAFA yang di wakili Awang Kadin sambil diperhatikan oleh (dua dari kanan) Ezrie di Pejabat SAFA di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyerahkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) bagi membantu meningkatkan lagi pencapaian pasukan itu dalam persaingan arena bola sepak di negara ini.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA, Kota Kinabalu oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang.

Turut hadir Pengurus Kanan Sumber Manusia & Khidmat Korporat, Ezrie Ag Raini dan Setiausaha Agung SAFA Shamsuddin Mohd Shah.

Japlin berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyokong pembangunan bola sepak di Sabah, khususnya dalam memperkukuh program pembangunan bakat serta mempertingkat prestasi pasukan negeri.

“CIS percaya sukan bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya.

Sementara itu, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.

Sumbangan ini juga mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN