KOTA KINABALU: Penganugerahan darjah kebesaran sempena sambutan Hari Lahir Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah baru-baru ini berlangsung dengan penuh istiadat dan gemilang, dengan tumpuan terarah kepada senarai penerima yang diumumkan.
Antara yang mencuri perhatian ialah tiga individu yang dianugerahkan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk”, iaitu Ghazali Hajiji, Hazeem Mubarak Musa dan Kurniawan Naim.
Bagaimanapun, penganugerahan tersebut tidak terlepas daripada kritikan segelintir pihak, khususnya dalam kalangan penyokong pembangkang, yang mempersoalkan kelayakan penerima berikutan faktor usia yang dianggap masih muda serta dakwaan sumbangan mereka belum setanding dengan anugerah diterima.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah berkata kritikan sedemikian perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira sejarah penganugerahan yang turut melibatkan tokoh-tokoh lain yang menerima darjah kebesaran pada usia lebih muda atau setara, termasuk dalam kalangan pemimpin terdahulu.
Beliau berkata, dakwaan bahawa penganugerahan berkenaan dipengaruhi unsur kronisme dan latar belakang keluarga juga tidak berasas, sebaliknya lebih kepada kebetulan memandangkan penerima terlibat dalam bidang kepimpinan dan politik.
“Ketiga-tiga penerima ini layak diiktiraf berdasarkan merit serta pencapaian dalam bidang masing-masing, termasuk penglibatan di peringkat negeri dan nasional yang membuka ruang lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, khususnya golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, penilaian terhadap penerima seharusnya berasaskan sumbangan dan keupayaan mereka, bukan semata-mata latar belakang atau usia.
“Ramai pemimpin hari ini juga mempunyai susur galur kepimpinan, namun tetap diiktiraf berdasarkan jasa mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar meraikan kejayaan para penerima sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dan sumbangan mereka kepada negeri, di samping terus berusaha menyumbang secara ikhlas demi kemajuan Sabah.
Dalam pada itu, sambutan ulang tahun kelahiran rasmi TYT Negeri Sabah turut disifatkan sebagai simbol perpaduan dan kestabilan negeri, selaras dengan aspirasi pembangunan menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang diterajui kepimpinan negeri.
Aksyah turut merakamkan ucapan Dirgahayu kepada TYT Negeri Sabah serta mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah, sambil berharap mereka akan terus berkhidmat dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah.



