Liza
KOTA KINABALU, 17 Mac (Bernama) — Isu individu tanpa kewarganegaraan atau stateless di Sabah bukan lagi perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan sekian lama dan memerlukan penyelesaian menyeluruh serta berimbang.
Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Likas, Liza Din berkata, isu berkenaan tidak hanya melibatkan soal dokumentasi, tetapi turut menyentuh masa depan generasi, keadilan sosial serta kedaulatan negara.
Menurutnya, terdapat individu yang dilahirkan dan membesar di negara ini namun masih tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus menyebabkan mereka terpinggir daripada arus pembangunan.
“Golongan ini berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, peluang pekerjaan serta kehidupan yang lebih baik kerana tidak diiktiraf dalam sistem negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu stateless tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau dipolitikkan demi kepentingan tertentu.
Katanya, sebarang tindakan perlu mengambil kira aspek keselamatan negara, integriti sistem kewarganegaraan serta kedaulatan undang-undang.
“Pendekatan yang perlu diambil adalah tegas tetapi berperikemanusiaan. Individu yang benar-benar layak dan mempunyai asas kukuh wajar diberikan keadilan melalui proses yang telus serta sah di sisi undang-undang.
“Pada masa sama, kita perlu memastikan sistem negara tidak dimanipulasi oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” jelasnya.
Beliau turut menggesa kerajaan dan agensi berkaitan agar memperkemaskan sistem pendaftaran kelahiran, mempercepatkan proses semakan dokumen serta menyelesaikan kes-kes tertangguh yang telah berlarutan sekian lama.
“Isu yang berlarutan puluhan tahun tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian yang jelas dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Liza menekankan bahawa isu stateless tidak seharusnya dijadikan alat politik untuk meraih sokongan atau menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.
Sebaliknya, beliau berkata, keberanian politik diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut secara adil, telus dan berpaksikan kepentingan negara serta rakyat.
“Kita mahu memastikan tiada individu yang benar-benar berhak terus terpinggir, dan dalam masa sama kedaulatan negara kekal terpelihara. Itulah keseimbangan yang perlu dicapai,” katanya.



