KENINGAU: Bantuan sumbangan bencana kebakaran, bakul makanan dan bekalan minuman bersih telah disampaikan kepada Fredoline Michael Kondu yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Gasabon Apin-Apin, petang tadi.
Sumbangan tersebut disampaikan mewakili Pembantu Menteri Kewangan merangkap ADUN Bingkor, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub, oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO), Janerowey Januarius Bundoi bersama kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Turut hadir dalam penyerahan bantuan tersebut ialah kakitangan Pejabat Wakil Rakyat Bingkor serta kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Keningau.
Bantuan yang disampaikan merangkumi sumbangan bencana kebakaran, bakul makanan serta bekalan minuman bersih bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat kejadian tersebut.
Sumbangan tersebut mencerminkan keprihatinan kepimpinan Ishak terhadap kebajikan rakyat, khususnya mereka yang berdepan musibah.
Di saat musibah datang tanpa diduga, kehadiran tangan yang membantu menjadi tanda bahawa kepimpinan yang dekat dengan rakyat sentiasa hadir ketika mereka paling memerlukan.



