KPDN bersama KKM bergambar sebelum memulakan operasi bersepadu di Kunak, hari ini. Kredit foto: KPDN
KUNAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna melaksanakan operasi bersepadu bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Kunak susulan aduan pengguna berhubung pematuhan undang-undang perdagangan dan peraturan kesihatan di sekitar daerah ini.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Bin Lamioh @ Lamidah berkata operasi itu melibatkan lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai Majlis Daerah Kunak dengan pemeriksaan tertumpu kepada pasar raya, kedai runcit, restoran serta stesen minyak.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang berkaitan perdagangan dan kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas melaksanakan operasi bersepadu di Kunak.
Hasil operasi tersebut, tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang oleh KPDN atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011.
Dalam operasi sama, KKM turut mengeluarkan empat notis atas ketidakpatuhan peraturan kesihatan, manakala dua kompaun dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak.
Satunlucy menegaskan KPDN akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa serta melindungi hak pengguna.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak melakukan sebarang penyelewengan melibatkan barang kawalan atau manipulasi harga yang boleh menjejaskan kepentingan pengguna.
Menurutnya, KPDN kekal komited memastikan kestabilan bekalan dan pematuhan harga sekali gus mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, emel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, atau hadir ke pejabat KPDN berhampiran.



