25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 13, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

401 Projek Naik Taraf Sekolah Daif di Sabah Sejak 2016, Lebih Separuh Siap

RANAU: Dalam tempoh 10 tahun (2016-2026), kerajaan telah meluluskan sebanyak 401 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah di Sabah dan setakat ini, lebih separuh projek sudah siap.


Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 238 projek telah siap, 63 projek pada fasa bina dan 100 projek pada fasa prabina.


Khusus di Parlimen Ranau pula, katanya, sebanyak 31 projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah telah diluluskan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 projek telah siap, sembilan projek pada fasa bina dan 10 projek pada fasa prabina.


“Kita dimaklumkan bahawa dalam konteks statistik dan data berkaitan sekolah yang mempunyai bangunan daif, ianya bersifat dinamik dan berubah mengikut keadaan semasa.


“Maklumat yang diperolehi menunjukkan sehingga 31 Disember 2025, terdapat 368 buah sekolah di Sabah yang telah dikenal pasti mempunyai bangunan daif, iaitu yang berada dalam kategori Skala 7.


“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 buah sekolah di Parlimen Ranau mempunyai bangunan daif,” katanya.


Tambahnya, Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan pendekatan secara berfasa dalam mengatasi sekolah daif yang merangkumi langkah jangka pendek dengan menumpukan kepada kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah yang dikenal pasti, dan bagi langkah jangka panjang KPM merancang pelaksanaan projek penggantian atau pembangunan semula bangunan sekolah yang berada pada skala 7.


Maklumat tersebut diperolehi melalui Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat, Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026 di sini baru-baru ini.


Dalam mesyuarat tersebut, Jonathan meminta Menteri Pendidikan Malaysia untuk menyatakan langkah-langkah yang akan diambil segera oleh Kementerian itu untuk menuntaskan masalah sekolah-sekolah daif dan sekolah-sekolah tidak selamat di seluruh Sabah dan khususnya di daerah Ranau.


Beliau turut bertanya, apakah langkah lanjut oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.


“Permohonan penggantian sekolah yang memenuhi kriteria akan sentiasa dikemukakan secara berfasa kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan di bawah perancangan pembangunan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).


“Secara umumnya, KPM akan memastikan mutu pendidikan terus dipertingkatkan, antara usaha yang dilaksanakan oleh KPM ialah memperkukuhkan tenaga pengajar berkemahiran, peluasan pendidikan digital di institusi pendidikan dan penambahbaikan kemudahan fizikal sekolah serta pembangunan bakat murid,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN