TERBAIK……..Sebahagian peserta memperlihatkan hasil Jahitan mereka sepanjang kursus tersebut.
OLEH SALWAH ARAMAT
RANAU: Program Jahit & Jana Pemerkasaan Wanita yang berlangsung di Balai Raya Kampung Lohan Skim Dua di sini menjadi inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh keupayaan ekonomi wanita luar bandar melalui latihan jahitan dan asas keusahawanan.
Program anjuran Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia (APPGM-SDG) itu dilaksanakan dengan sokongan Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan, serta dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Dalam ucapannya, Jonathan merakamkan penghargaan kepada APPGM-SDG atas komitmen berterusan melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti yang memberi penekanan kepada pemerkasaan rakyat di peringkat akar umbi, selain menyifatkan program berkenaan sebagai satu intervensi bersasar yang selari dengan usaha pelokalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau berkata program itu dilaksanakan di bawah inisiatif Special Intervention for Local Coordinator APPGM-SDG Daerah Ranau yang merangkumi sumbangan empat unit mesin jahit serta penganjuran kursus jahitan dan keusahawanan selama tiga hari, dengan G1FT sebagai rakan pelaksana.

TAHNIAH……..Para peserta beserta Sijil Penghargaan mereka merakam gambar kenangan bersama Datuk Jonathan (duduk tengah) dan para jemputan lain.
Menurutnya, pelaksanaan program turut berpandukan Terma Rujukan (TOR) yang jelas bagi memastikan tadbir urus yang baik, ketelusan pengurusan dana serta pemantauan impak secara berperingkat selari dengan prinsip akauntabiliti dalam projek pembangunan komuniti.
Jonathan turut menegaskan peranan penting Penyelaras Tempatan APPGM-SDG dalam memantau pelaksanaan program di peringkat lapangan termasuk penyelarasan bersama rakan pelaksana, penyediaan laporan kepada sekretariat serta pemantauan keberhasilan program.
Beliau berkata mesyuarat susulan bersama kepimpinan kampung akan diadakan bagi merangka pelan tindakan komuniti untuk tempoh setahun sebagai langkah memastikan kesinambungan dan kelestarian program berkenaan.
Sebagai wakil rakyat Parlimen Ranau, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan pembangunan komuniti yang berteraskan akauntabiliti, kerjasama pelbagai pihak dan pemerkasaan sebenar komuniti akar umbi sebelum merasmikan penutupan program itu serta mengumumkan sumbangan dana daripada Parlimen Ranau kepada para peserta bagi melancarkan lagi aktiviti keusahawanan mereka.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam, Ketua Eksekutif APPGM-SDG Wilayah Sabah, Mc Jeanet Lempisik, wakil rakan pelaksana G1FT serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jusrie Sahidin.



