Pegawai Penguatkuasaan KPDN ketika membuat pemeriksaan Peraturan Jualan Murah di sebuah kedai serbaneka.
𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍: 𝐒𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐤𝐞𝐝𝐚𝐢 𝐬𝐞𝐫𝐛𝐚𝐧𝐞𝐤𝐚 𝐝𝐢 𝐬𝐢𝐧𝐢 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐨𝐦𝐩𝐚𝐮𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐊𝐞𝐦𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐝𝐚𝐠𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐨𝐬 𝐒𝐚𝐫𝐚 𝐇𝐢𝐝𝐮𝐩 (𝐊𝐏𝐃𝐍 𝐋𝐚𝐛𝐮𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐥𝐞𝐩𝐚𝐬 𝐝𝐢𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐢 𝐠𝐚𝐠𝐚𝐥 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐭𝐮𝐫𝐚𝐧 – 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐭𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐫𝐢𝐡𝐚𝐥 𝐃𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 (𝐇𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐉𝐮𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐫𝐚𝐡, 𝐀𝐤𝐭𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐢𝐡𝐚𝐥 𝐃𝐚𝐠𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝟐𝟎𝟏𝟏 (𝐀𝐤𝐭𝐚 𝟕𝟑𝟎).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan tersebut diambil hasil pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya pada Jumaat.
Katanya, sepasukan anggota penguatkuasaan ditugaskan menjalankan pemeriksaan di sekitar Bandar Labuan dan Kompleks Ujana Kewangan.
“Fokus pemeriksaan adalah terhadap pematuhan peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815]. Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah mengadakan promosi jualan murah tanpa mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal terlebih dahulu sebagaimana yang diwajibkan di bawah perundangan berkuat kuasa.
“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 730, pesalah individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali,”menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, Notis Jualan Murah perlu dikemukakan kepada Pengawal terlebih dahulu bagi melindungi kepentingan pengguna.
Jelasnya, KPDN memandang serius sebarang ketidakpatuhan berkaitan pelaksanaan promosi jualan murah kerana kegagalan mengemukakan Notis Jualan Murah yang boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan ketelusan transaksi perdagangan.
“Sehubungan itu, KPDN sentiasa memantau transaksi jualan serta permohonan jualan murah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan pengguna menerima maklumat yang jelas, tepat dan telus.
“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika dan mematuhi undang-undang,” katanya.



