ADVERTISEMENTspot_img

Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2026 Eratkan Silaturahim Peniaga Pasar Ranau

KENANGAN……..Para peniaga Pasar Besar Ranau, merakam gambar bersama Datuk Jonathan Dan Datuk Rusdin.

Oleh: Salwah Aramat
RANAU: Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2026 anjuran Persatuan Pengusaha Pasar Besar Ranau yang berlangsung baru-baru ini di Pasar Besar Ranau disambut meriah dengan kehadiran para peniaga serta komuniti setempat, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah itu.


Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin, dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan yang baharu, Rusdin Riman, sebagai tanda sokongan berterusan kepada penganjur dan golongan peniaga tempatan.


Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Robert Atian merakamkan penghargaan atas kesudian kedua-dua wakil rakyat berkenaan menghadiri majlis tersebut, yang menurutnya telah menyemarakkan lagi sambutan serta memberi motivasi kepada para peniaga untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.


Beliau berkata, program berasaskan komuniti itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan peniaga, di samping memupuk semangat hormat-menghormati dan kerjasama erat antara ahli persatuan, pemimpin masyarakat serta pihak berkepentingan.


Sementara itu, Jonathan dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan tahniah kepada Persatuan Pengusaha Pasar Besar Ranau atas kejayaan menganjurkan majlis yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.


Beliau turut menggesa ahli-ahli persatuan agar terus berdaya saing dan memanfaatkan kemajuan teknologi digital dalam memasarkan produk tempatan, selaras dengan perubahan landskap perniagaan semasa.


Dalam pada itu, Jonathan berharap Pasar Sayur Pekan Ranau dapat dinaik taraf oleh kerajaan pada masa hadapan bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan moden, khususnya kepada peniaga kecil, selain memberi jaminan bahawa setiap permohonan rakyat akan diteliti dan ditangani sebaik mungkin.


Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan penyaluran sumbangan dana kepada Persatuan Pengusaha Pasar Besar Ranau serta Persatuan Usahawan Kecil Bumiputera Daerah Ranau sebagai sokongan kepada pembangunan ekonomi setempat.


Rusdin pula dalam ucapannya merakamkan terima kasih atas jemputan yang diberikan dan menegaskan komitmennya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya dalam memperjuangkan kebajikan serta pembangunan kawasan Paginatan dan sekitarnya.


Majlis berakhir dalam suasana harmoni, mencerminkan komitmen berterusan para peniaga dan pemimpin tempatan dalam menyokong pembangunan ekonomi serta mempererat jalinan komuniti di daerah Ranau.


Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Pengusaha Pasar Besar Ranau, Rohaidan Sairin dan Pengerusi Persatuan Usahawan Kecil Daerah Ranau, Supiah Gagas.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN