JULITA (duduk tengah) bergambar bersama warga KWKKR, jabatan dan agensi di bawah KWKKR
Oleh AdukaJasnin Suman
KUNDASANG: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) mengadakan retreat selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Januari di Hotel Perkasa, di sini, bagi membincangkan serta memperhalusi halatuju kementerian bagi tahun 2026 selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Mojungki, berkata retreat berkenaan memberi fokus kepada perancangan strategik, termasuk inisiatif dan program keutamaan bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menurutnya, perbincangan menyeluruh melibatkan aspek pemerkasaan wanita, peningkatan akses kesihatan serta pengukuhan jaringan kebajikan sosial bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan memberi impak langsung kepada rakyat.

Julita ketika berucap merasmikan penutupan retreat di Hotel Perkasa, Kundasang
Turut hadir Pembantu Menteri KWKKR, Rina Jainal, Setiausaha Tetap KWKKR, Maria Chong, pegawai kanan kementerian serta ketua dan wakil jabatan serta agensi berkaitan.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Retreat berkenaan turut menampilkan sesi ceramah khas oleh Ramzah Dambul dari Institut Kajian Pembangunan Sabah, yang menyentuh isu pembangunan wanita merangkumi pemerkasaan ekonomi, peningkatan kapasiti kepimpinan, pendidikan serta kesejahteraan keluarga.
KWKKR berharap hasil perbincangan dan dapatan sepanjang retreat itu dapat diterjemahkan kepada dasar dan program yang lebih berkesan, inklusif serta mampan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah.



