SUMBANGAN… Wakil rombongan konvoi motosikal, Chap (tengah), menyampaikan sumbangan wang tunai kepada nenek kepada anak mangsa sebagai tanda keprihatinan dan sokongan. Turut kelihatan dua anak mangsa (dua dari kanan)
KOTA KINABALU: Keprihatinan terhadap nasib tiga beradik yang kehilangan tempat bergantung terserlah apabila gabungan beberapa kelab motosikal sekitar Kota Kinabalu mengadakan program ziarah kasih bagi menyantuni keluarga mangsa yang terkesan akibat kemalangan maut di Tamparuli, baru-baru ini.
Konvoi melibatkan lebih 20 buah motosikal pelbagai jenis itu diketuai penyelaras program, Mohd Shafwan @ Chap Bin Japar, dan bertolak dari Kota Kinabalu seawal 9 pagi sebelum menempuh perjalanan sejauh puluhan kilometer menuju ke kediaman keluarga mangsa di Kampung Bongol, berhampiran Simpang ‘Bypass’ Ranau–Kota Belud.
Ketibaan rombongan disambut dalam suasana penuh rasa syukur dan sebak oleh keluarga mangsa yang masih bergelut menerima hakikat kehilangan insan tersayang.

KENANGAN… Rombongan konvoi yang diketuai Chap merakam gambar kenangan bersama anak serta keluarga mangsa
Chap berkata, setibanya di rumah berkenaan, rombongan berkesempatan menyantuni dua daripada tiga beradik tersebut yang kini tinggal bersama nenek mereka selepas pemergian kedua-dua ibu bapa.
“Terdahulu, kami mengadakan kutipan sumbangan wang tunai daripada semua ahli konvoi mengikut keikhlasan masing-masing
“Hasil sumbangan itu diserahkan kepada nenek anak-anak mangsa dengan harapan dapat sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan harian serta keperluan persekolahan mereka,” katanya.
Beliau berkata, anak sulung mangsa, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun, kini berada di Indonesia dan tidak sempat pulang untuk menziarahi serta memberikan penghormatan terakhir kepada ibu bapanya.
Sementara itu, anak kedua berusia 13 tahun (perempuan) dan anak bongsu berusia lapan tahun (lelaki) masih bersekolah dan kini di bawah jagaan nenek mereka di Kampung Bongol.

SELESAI… Konvoi bermotor yang terdiri daripada ahli beberapa kelab motosikal berkuasa tinggi dan skuter sekitar Kota Kinabalu merakam gambar kenangan selepas selesai menziarahi serta menyampaikan sumbangan di Kg.Bongol, pada Ahad.
Ketiga-tiga beradik itu bergelar yatim piatu selepas ibu bapa mereka terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tamparuli–Ranau pada 9 Januari lalu, ketika dalam perjalanan membeli kelengkapan persekolahan.
Tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa pasangan suami isteri berkenaan, malah meninggalkan kesan emosi mendalam kepada anak-anak yang kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung pada usia yang masih muda.
Sehubungan itu, Chap mengalu-alukan lebih ramai individu serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.

Sebahagian konvoi motorsikal yang tiba di Simpang ‘Bypass’ Ranau–Kota Belud, dekat Kg.Bongol
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli konvoi yang menunjukkan keprihatinan serta kemurahan hati dengan menyertai konvoi amal berkenaan sambil menghulur sumbangan wang tunai.
“Semoga segala kebaikan dan keikhlasan rakan-rakan yang terlibat mendapat ganjaran pahala dan sentiasa dimurahkan rezeki,” katanya.



