Keadaan kereta yang terbabas di Jalan Papar Lama
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun maut selepas tercampak keluar daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terbabas sendiri dalam satu kemalangan di Jalan Papar Lama, berhampiran belakang Kem Lok Kawi, Putatan, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, melibatkan sebuah kenderaan 4WD yang dipandu seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun bersama tiga penumpang lelaki berusia antara 30 hingga 69 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, penumpang hadapan tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu serta dua penumpang belakang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan ketika memandu demi keselamatan diri serta pengguna lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.



