Profesor Ts Dr Shamsul Bahari (lima kanan), Dr. Colonius (lima kiri), Dr Syahrul Nizam (tiga kiri), Johari (empat kiri) dan Wendy Vallerie (empat kanan) bergambar kenangan bersama jurulatih KARKOMKAL Sesi 2025/2026.
LABUAN : Penganjuran Karnival Kokurikulum Berkredit UMSKAL (KARKOMKAL) Semester 1 Sesi 2025/2026 seiring dengan aspirasi universiti dalam melahirkan pelajar yang holistik, berfikiran global dan menghargai kepelbagaian budaya.
Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Ts Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata selaras dengan fokus SDG dan ESG iaitu perpaduan dan keterangkuman, karnival ini telah menjadi saluran interaksi yang menyatukan warga kampus dan masyarakat dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dengan sangat menarik dan berimpak tinggi serta meriah dan penuh makna.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar UMSKAL, barisan pensyarah, jurulatih, jawatankuasa pelaksana serta pelajar yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini yang bertemakan ‘Borneo Mendunia’
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Kokurikulum Berkredit UMSKAL Semester 1 Sesi 2025/2026 di Dewan Utama UMSKAL pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Akademik) PKPP, UMS, Dr. Colonius Atang, Penyelaras Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa (PPIB) UMSKAL, Dr Syahrul Nizam Salam, Penolong Pendaftar Kanan, Johari Safar dan Pengarah Program, Wendy Vallerie Fredolin.

Profesor Ts Dr Shamsul Bahari (tiga kanan) menerima cenderamata daripada Dr. Colonius diperhatikan Dr Syahrul Nizam (kanan), Johari (dua kanan) dan Wendy Vallerie (kiri).
Hadir sama Penyelaras Program, Mazlan Jumat, pensyarah dan kakitangan.
Profesor Ts Dr Shamsul Bahari berkata aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyokong pembelajaran pengalaman melalui aktiviti lasak dan keusahawanan pelajar, malah menyumbang kepada pengukuhan kefahaman agama.
“Kepelbagaian program ini jelas memperlihatkan kreativiti pelajar dalam menggabungkan pengkhususan kursus dengan elemen budaya dan gaya hidup sihat”, jelasnya.
Sementara itu, persembahan pelajar mempamerkan bakat, kreativiti dan semangat kerja berpasukan pelajar dalam mewakili budaya negara masing-masing dengan penuh profesionalisme dan kesantunan.
Beliau percaya pengalaman yang diperoleh melalui KARKOMKAL ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan pelajar, malah membentuk jati diri yang lebih matang dan berdaya saing selari dengan keperluan masa hadapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan KARKOMKAL Sesi 2025/2026.



