Muhamad Khalif Fiqri membentangkan projek inovasi di Karnival SULAM@UPSI peringkat kebangsaan baru-baru ini.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan reputasinya di pentas nasional apabila projek inovasi pelajar bertajuk ReIPvolution meraih pelbagai pengiktirafan melalui program pendidikan luar bandar SULAM–ReIP.
Projek yang pada asalnya dikenali sebagai Reading in Paradise (ReIP) itu bermula dengan usaha memulihkan akses bacaan di sebuah sekolah luar bandar, sebelum berkembang menjadi EduTaman Inspirasi — sebuah ruang pembelajaran luar bilik darjah yang menggabungkan elemen literasi, kreativiti, kesejahteraan emosi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Melalui platform Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM), mahasiswa UMS berjaya mengaplikasikan ilmu kursus secara langsung kepada cabaran sebenar komuniti, sekali gus memperkukuh nilai kepimpinan, empati dan kerja berpasukan.
Tahun 2025 menyaksikan ReIPvolution mencatat deretan kejayaan membanggakan termasuk Pingat Emas dan Pembentang Terbaik di SUISS, Pingat Emas di IPICTL × SULAM@UPM, Pingat Emas di SULAM UMS, Pingat Emas dan Tempat Kedua di SULAM@UPSI, dan Pingat Emas Pertandingan Poster Penyelidikan SPSSK 2025.
Projek itu turut terpilih sebagai finalis kebangsaan SULAM Innovate anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijadualkan berlangsung November ini.
Atas impak signifikan terhadap pendidikan luar bandar, kumpulan pelajar tersebut turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Sabah (AKSA) daripada Kerajaan Negeri bernilai RM8,000.
Pensyarah pembimbing, Puan Ramlah Daud, ketika dihubungi berkata pencapaian tersebut membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa komuniti melalui SULAM, di samping melahirkan mahasiswa berdaya kepimpinan tinggi.
“SULAM bukan sahaja memberi ruang untuk mahasiswa menyumbang kepada masyarakat, tetapi membentuk karakter kepemimpinan dan empati yang diperlukan dalam dunia sebenar,” katanya.
Ketua projek, Muhamad Khalif Fiqri, pula tampil mewakili UMS untuk membentangkan inovasi berkenaan pada Karnival SULAM@UPSI.



