KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, hari ini mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan, sebagai tanda tegas mempertahankan prinsip perjuangan hak Sabah khususnya tuntutan 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Penampang merangkap ADUN Kedamaian itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS) terhadap hak 40 peratus hasil Sabah.
Menurutnya, pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) seperti yang dinyatakan dalam penghakiman bertulis itu jelas mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk syarat dan persetujuan asal Sabah ketika menyertai pembentukan negara pada tahun 1963.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut
“Sangat janggal untuk saya terus berada dalam Kabinet Persekutuan sedangkan pendekatan mereka mengenai hak 40 peratus Sabah amat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ewon menjelaskan bahawa perjuangan UPKO berakar daripada dokumen asas perlembagaan seperti Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia, yang menjadi teras kepada penubuhan Malaysia. Oleh itu, katanya, pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa kompromi.
Beliau turut mengingatkan bahawa UPKO sejak penubuhannya berpegang kepada matlamat memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam kerangka Persekutuan.
“Saya kekal dengan pendirian bahawa AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus itu,” tegasnya.
Ewon yang sebelum ini pernah memfailkan Saman Pemula terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berhubung isu sama menjelaskan bahawa beliau hanya menarik balik saman itu pada September 2023 atas semangat mencari penyelesaian melalui rundingan.
Bagaimanapun, katanya, selepas meneliti keseluruhan penghakiman bertulis serta pendirian berterusan AGC, beliau tidak melihat ada perubahan nasihat baharu kepada Perdana Menteri dan Kabinet Persekutuan dalam isu ini.
“Saya berpegang kepada prinsip perjuangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan MA63 dan hak-hak Sabah.l
“Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan,” tegasnya.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas peluang dan ruang yang diberikan sepanjang berada dalam Kabinet Persekutuan, yang menurutnya telah menjadi wadah penting untuk membawa suara dan hak Sabah ke peringkat nasional.
Beliau juga memaklumkan akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin depan bagi membincangkan agenda “Sabah First” yang menjadi asas halatuju baharu parti itu.
Tindakan Ewon itu dijangka menjadi episod penting dalam perjuangan autonomi Sabah, sekali gus mencerminkan pendirian tegas beliau bahawa hak negeri tidak boleh dikompromi demi kedudukan politik.



