MOHD RAFI membaling dart tanda simbolik perasmian Kejohanan Dart Berpasangan Terbuka Labuan 2025
LABUAN: Kejohanan Dart Berpasangan Terbuka Labuan 2025 yang dianjurkan Kelab Generasi Labuan dengan kerjasama Persatuan Dart Labuan mampu mengeratkan semangat kesukanan dan perpaduan yang lebih jitu khususnya di kalangan belia serantau.
Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan ketika berucap merasmikan Kejohanan Dart Berpasangan Terbuka Labuan 2025 (Double Dart Labuan Open) yang diadakan di Palm Beach and Spa Resort di sini, pada Sabtu.
Katanya, kejohanan yang mendapat penyertaan meluas dari seluruh Borneo (Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Labuan) mencerminkan semangat silaturahim dan perpaduan serantau yang erat.
Kejohanan yang julung kalinya diadakan oleh Kelab Generasi Labuan menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan disertai oleh 150 pasukan pemain dart dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Labuan.
Mohd Rafi yang juga Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, menyarankan agar lebih banyak persatuan sukan di Labuan mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan seumpama itu kerana ia secara tidak langsung menjana ekonomi tempatan, khususnya dalam industri perhotelan, makanan, pelancongan dan peniaga
Selain itu katanya, aktiviti sukan seperti dart ini mampu menggalakkan gaya hidup sihat serta mengurangkan penglibatan golongan muda dalam gejala sosial yang tidak berfaedah sambil menambah agar setiap kampung mempunyai kelab dart tersendiri.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Generasi Labuan, Faridzuan Abd Harah dan Pengerusi Persatuan Dart Labuan, Suali Tuah.



