ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan terbuka luaskan BUDI95 kepada pengusaha bot

AMIR ketika meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Jalan Pohon Batu.

LABUAN: Pengusaha bot penumpang yang beroperasi di Sabah dan Sarawak termasuk pemilik bot di perkampungan air menarik nafas lega apabila kerajaan MADANI sedia memperluaskan inisiatif BUDI95 kepada golongan tersebut.

Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk meluaskan inisiatif BUDI95 kepada mereka yang terlibat dalam mengendalikan operasi bot penumpang khususnya di Sabah dan Sarawak termasuk pengguna bot kecil di perkampungan air yang menjadikan bot sebagai kenderaan utama mereka.

“Secara dasarnya kerajaan tidak melihat sebarang halangan untuk memperluaskan skim itu kepada mereka yang terlibat dalam operasi bot penumpang, ini kerana mereka juga memainkan peranan penting dalam memberi perkhidmatan kepada komuniti terutamanya di kawasan luar bandar dan pulau”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas di Jalan Pohon Batu di sini, pada Ahad.

Justeru itu katanya, kerajaan sentiasa berkerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan golongan tersebut turut menerima skim berkenaan.

Beliau berkata, perluasan skim tersebut kepada pengusaha bot penumpang bukan sahaja dapat meringankan operasi mereka, malah secara tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan perjalanan harian mereka.

Beliau turut menjelaskan bermula pada Sabtu, BUDI95 diperluaskan kepada lebih lima juta pengguna Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan B40, sebelum pelaksanaan penuh pada 30 September ini yang merangkumi 16 juta rakyat Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu yang sah.

Jelasnya lagi, pelaksanaan BUDI95 akan membantu ketirisan subsidi dan memastikan pengagihan benar benar disasarkan kepada rakyat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN