ADVERTISEMENTspot_img

Pemegang Adat diseru memastikan sokongan penuh kepada Kerajaan GRS: Abidin

Datuk Abidin sempat memberi sumbangan mesin rumput untuk kegunaan Bangunan MAN Ranau


RANAU: Semua Pemegang Adat diseru supaya memastikan perpaduan kampung yang sudah ujud selama lima tahun ini dipelihara, sekaligus memastikan sokongan kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak goyang.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, YB Datuk Abidin Madingkir berkata, hal tersebut penting, lebih-lebih lagi memandangan DUN Sabah akan dibubarkan pada bila-bila masa untuk memberi laluan kepada PRN yang ke-17 diadakan.


“Berdirilah teguh dibalik Kerajaan GRS walaupun terdapat suara-suara pembangkang yang menidakkan pencapaian Kerajaan GRS yang begitu cemerlang dalan lima tahun pemerintahannya.


“Para Pemegang Adat adalah lantikan Kerajaan semasa dan harus menjadi agen Kerajaan untuk menyampaikan maklumat penting kepada rakyat dan juga sebagai mata dan telinga Kerajaan untuk melihat dan mendengar pemaslahan rakyat.


“Ambil peranan untuk menjelaskan kepada orang-orang Kampung mengenai pencapaian kerajaan GRS. Pemegang Adat mesti berdiri teguh di belakang Kerajaan dengan sokongan tak berbelah bagi kerana kamu adalah sebahagian daripada kerajaan,” katanya.


Datuk Abidin menambah, para Pemegang Adat juga harus mempunyai kebijaksanaan untuk menilai apa sahaja yang dihamburkan oleh pihak lawan yang hanya memecahbelahkan perpaduan rakyat, termasuk dengan tohmahan yang diviralkan melalui media sosial.


Beliau berkata, antara lain pencapaian Kerajaan GRS dalam lima tahun pemerintahannya menyaksikan pendapatan kerajaan meningkat hampir RM7 bilion pada tahun ini berbanding hanya RM4 billion pada tahun 2022.


Ini, katanya, turut menyaksikan reserve kerajaan negeri meningkat kepada RM8.7 billion pada tahun ini.


“RM138 juta telah dibelanjakan untuk membiayai sektor pendidikan pada tahun ini. Sementara pembinaan Rumah SMJ telah dilaksanakan sejak 2022 sebanyak 20 unit setiap DUN dan 40 unit pada tahun 2024.


“Bantuan sentuhan kasih sebanyak RM300 setiap bulan sehingga akhir tahun ini disalurkan kepada golongan yang berdaftar dengan E- Kasih; dan juga kerajaan telah menyediakan Insuran rakyat sebanyak RM10,000 seorang.


“Kesemua inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan jayanya kerana adanya kestabilan politik di Negeri kita. Sudah tentunya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 dapat diteruskan dengan adanya mandat baru yang kita berikan kepada Kerajaan GRS dalam PRN17 nanti,” katanya.


Menurut Datuk Abidin lagi, bagi DUN Paginatan, Visi dan misi yang beliau lakarkan sejak beliau menjadi Wakil Rakyat sebahagian besarnya telah dilaksanakan.


Antaranya perkara yang sudah direalisasikan ialah pembinaan Pekan Baru Paginatan yang mana majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri beberapa minggu yang lalu.


“Ini bukanlah gimik pilihanraya seperti yang diwar warkan oleh segelintar orang yang tidak bertanggung jawab. Kita hanya melaksanakan pecah tanah tersebut selepas ada kelulusan daripada kerajaan.


“Kawasan Pekan Baru telah dikenalpasti dan pengukuran Kawasan telah pun dibuat oleh pihak Jabatan Tanah. Peruntukan awal untuk memulakan kerja-kerja infrastruktur sebanyak RM500k telahpun diluluskan oleh kerajaan.


“Satu lagi pencapaian adalah berkenaan Program Pengukuran Pantas di mana dengan adanya hubungan baik kita dengan Jabatan Tanah dan Ukur, kita telah berjaya mengeluarkan geran tanah sebanyak lebih daripada 1,000 geran yang melibatkan lebih 6,000 ekar keluasan tanah yang disukat,” katanya.


Abidin menambah, kerja keras yang dijalankan juga membuahkan hasil dengan pengeluaran kampung-kampung Ponulangon, Walou dan Kanawahon daripada hutan simpan.


Beliau terus menyeru kepada Ketua Kampung di tiga buah kampung ini untuk membuat permohonan tanah kepada PPHT Ranau secepat mungkin.


Selain itu, katanya, pengujudan kampung-kampung baru dan juga penambahan kuota Pengerusi JKKK berjaya dilaksaknakan dengan tambahan jawatan tiga Ketua Kampung dan sembilan Pengerusi JKKK di DUN Paginatan.


Di samping itu, beliau turut menyentuh tentang pengujudan dan pembinaan lima buah Balai Adat di DUN Paginatan melibatkan kesemuua Mukim di DUN itu (bagi memudahkan Persatuan Pemegang Adat menjalankan aktiviti mereka).


“Syabas dan tahniah juga kepada Persatuan Pemegang Adat kerana berjaya mendokumenkan Adat Resam hampir di kesemua kampung di DUN Paginatan. Ini merupakan satu pencapaian yang amat cemerlang dan harus dibanggakan.


“Saya menyeru kepada semua Ahli Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan supaya sentiasa berpegang kepada motto persatuan ‘Saling bekerjasama, Saling melengkapi di antara satu dengan yang lain’.


“Kita akan bekerja bersama sama untuk memantapkan MAN khususnya di DUN Paginatan,” katanya.


Beliau yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa merasmikan majlis Taklimat Khas Wakil Rakyat N38 Paginatan kepada MAN Ranau yang diadakan di sini baru-baru ini.


Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, KAN Dualis Porodtong mengalu-alukan kehadiran YB Datuk Abidin dalam Majlis Taklima Khas bersama sama Ahli-Ahli Persatuan Pemegang Adat DUN N38 Paginatan.


“Kita memanggil YB Datuk untuk memberi kita maklumat mengenai perkembangan politik semasa di ambang PRN17 supaya kita dibekalkan dengan info-info yang lengkap untuk kita menghadapi kempen Pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi.


“Untuk makluman, DUN Paginatan mempunyai empat orang Ketua Anak Negeri (KAN), 15 orang Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), lima orang Ketua Balai di lima Mukim DUN Paginatan dan 80 orang Ketua Kampung.


“Pencapaian Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan yang paling signifikan adalah pengujudan Buku Adat Resam di setiap kampung,” katanya.


Dualis berkata, Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan sentiasa bekerjasama dengan PPHT Ranau dalam menyelesaikan pertikaian tanah, dan juga menentukan persempadanan tanah di antara kampung-kampung.


Tambahnya, ahli Persatuan Pemegang Adat sentiasa berusaha kearah menterjemahkan slogan Mahkamah Anak Negeri (MAN) iaitu ‘saling bekerjasama, saling melengkapi di antara satu dengan yang lain’.


Justeru beliau menyeru kepada semua Pemegang Adat untuk sentiasa membawa wibawa Ketua Kampung di kampung masing-masing, sentiasa berlaku adil, bijak, prihatin, dan mempunyai keperibadian yang tinggi sebagai pemimpin utama dalam kampung.


Beliau mewakili semua Ahli Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, berikrar untuk bekerja lebih kuat lagi dalam memastikan kemenangan YB Datuk Abidin dalam Pilihanraya akan datang ini.
“Kita sebulat suara berdiri teguh di belakang Wakil Rakyat yang kita kasihi, Wakil Rakyat yang banyak berjasa kepada Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan,” kata beliau.


Turut hadir di majlis itu, Ketua Daerah OKK Muhasip Hj Rauman, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Ketua Wiramuda Star Paginatan, Hillary Salmoen dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN