Dr. Nuraini (tengah) bersama peserta Edutourism 2025 yang menjayakan program Khidmat Masyarakat di Kampung Layang-Layangan.
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) terus memperkukuh agenda Edutourism 2025 dengan menjalin kerjasama bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL).
Penyelaras Program, Dr. Nuraini Jamil berkata program Khidmat Masyarakat yang diadakan pada 11 September itu menampilkan dua sesi utama.
Katanya, dalam sesi pertama para peserta diperkenalkan dengan KEBAL dan kemudiannya menyertai aktiviti membuat roti.
Sementara menunggu roti siap untuk proses pembungkusan, peserta turut terlibat dalam perkongsian ilmu teknologi maklumat (IT sharing) yang memberi nilai tambah dari aspek pengetahuan digital.
Sesi kedua pula memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan hasil usaha mereka dengan menyertai aktiviti kebajikan.
Roti yang dihasilkan bersama barangan keperluan lain telah diagihkan kepada 20 orang asnaf di sekitar Kampung Layang-Layangan.
“Aktiviti ini bukan sahaja mendidik peserta melalui pengalaman praktikal, malah menanam nilai prihatin, empati, dan kepedulian terhadap masyarakat setempat”, katanya,
Jelas beliau lagi, Program Edutourism ini menzahirkan pendekatan pendidikan berasaskan pengalaman sebenar, menggabungkan kemahiran, pengetahuan dan amal kebajikan.
Dalam pada itu, beliau percaya inisiatif sebegini mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat serta mampu menyumbang kembali kepada komuniti.
Seramai 24 peserta program yang terdiri daripada pelajar ICT dari Universitas Esa Unggul Indonesia, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),
Mereka sedang mengikuti Program ICT-Edutourism: EduConnect Beyond Borders – Borneo Edition pada 8 – 13 September 2025.
Program yang julung kali diadakan itu dianjurkan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS dengan kerjasama RTM, Jabatan Belia dan Sukan, KEBAL dan Premier Digital Tech Institutions (PDTI) serta MOTAC.
Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Penganjur, Prof Madya Dr Muzaffar Hamzah dan Pensyarah FKI, Dg. Senandong Ajor dan Pengerudi Kebal Ts. Ahmad Nazri Jamal.
Tamat.
Gambar 1: Dr. Nuraini (tengah) bersama peserta Edutourism 2025 yang menjayakan program Khidmat Masyarakat di Kampung Layang-Layangan.