ADVERTISEMENTspot_img

Air Tent Glamping Fest 2025: Ranau jadi tumpuan peminat perkhemahan mewah

SUASANA MEMUKAU… Sebahagian khemah mewah di Padang Kg Sinarut Baru, Ranau terserlah indah dengan cahaya lampu, menjadikan pengalaman glamping lebih eksklusif dan menarik- kredit gambar: Effa Noor



PADANG Kg Sinarut Baru, Ranau bertukar menjadi lokasi penuh warna-warni apabila ratusan penggemar aktiviti luar berkumpul sempena Air Tent Glamping Fest 2025, sebuah acara perkhemahan mewah atau glamping yang berlangsung dari 13 hingga 15 September di Padang Kg.Sinarut Baru, di sini.

Program anjuran Seni Klasik Event itu bukan sekadar mengetengahkan trend baharu perkhemahan moden dengan khemah angin (air tent) yang canggih dan mudah dipasang, malah turut menjadi platform mempromosikan tapak perkhemahan di Sabah sebagai produk pelancongan berpotensi tinggi.

Sebahagian urusetia dan peserta- Foto by Aduka

Ranau jadi mercu tumpuan

Kampung Sinarut Baru Ranau, dipilih sebagai tapak perkhemahan rasmi festival ini. Menariknya, tapak ini diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Penduduk Kampung Sinarut Baru, sekali gus membuka peluang ekonomi sampingan kepada masyarakat setempat.

Dengan penyertaan lebih 200 peserta dari seluruh Sabah, Labuan, Sarawak, Kuala Lumpur, dan Brunei Darussalam, festival ini bukan sahaja menyatukan penggemar aktiviti perkhemahan, malah memperlihatkan keterujaan komuniti luar negara terhadap keindahan alam semula jadi Sabah.

Tersusun cantik..suasana perkhemahan pada waktu siang- foto by aduka


Glamping: Evolusi perkhemahan moden

Perkhemahan bukan lagi sinonim dengan kesusahan memasang khemah atau berdepan kekurangan fasiliti. Sebaliknya, glamping kini menampilkan khemah-khemah moden yang dilengkapi aksesori terkini daripada jenama antarabangsa seperti Naturehike, Mobi Garden, Maverick dan Mountain Hiker.

Fenomena ini secara tidak langsung membuka peluang perniagaan baharu, khususnya dalam pasaran khemah dan aksesori perkhemahan, sekali gus menyumbang kepada ekosistem pelancongan luar bandar.

Salah satu khemah mewah yang dianggarkan ribuan ringgit, malah ada beberapa buah khemah yang mencecah puluhan ribu ringgit – foto by aduka



Aktiviti tiga hari penuh meriah

Sepanjang tiga hari, peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memasak Glamping Master Chef, pertandingan mewarna kanak-kanak, serta penilaian khemah tercantik pada waktu siang dan malam.

Hari penutup festival dimeriahkan dengan sesi penyampaian hadiah, ucapan penghargaan dan acara bergambar beramai-ramai.

SANTAI…Pasangan suami isteri santai di khemah mereka..foto by aduka


Memacu potensi pelancongan Sabah

Menurut penganjur, objektif utama festival ini adalah untuk memperkenalkan aktiviti perkhemahan sebagai salah satu tarikan pelancongan negeri.

“Sabah memiliki banyak tapak perkhemahan yang berpotensi besar untuk diketengahkan, terutama di kawasan pelancongan seperti Kundasang, Kiulu, Kota Belud, Papar, Keningau dan Tawau. Melalui penganjuran festival ini, kami berharap dapat mempromosikan produk pelancongan Sabah kepada peserta dalam dan luar negara,” jelas wakil Seni Klasik Event.

Penganjur turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penduduk Kampung Sinarut Baru serta Kementerian Pelancongan atas kerjasama menjayakan program tersebut.

RAZLI dan isteri….Pengurus Seni Klasik Event yang juga penyelaras Air Tent Glamping Fest 2025 – foto by aduka



Penutup penuh harapan

Menurut pengurus program yang hanya mahu dikenali Razli Seni Klasik Event, Air Tent Glamping Fest 2025 menandakan langkah awal ke arah menjadikan perkhemahan mewah sebagai produk pelancongan mapan di Sabah. Dengan sambutan menggalakkan, tidak mustahil acara ini akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan pencinta alam dan pelancong luar negara.

Air Tent Glamping Fest 2025…..Datuk Azis Jamman dan isteri turut mengambil bahagian – foto by aduka

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN