Profesor Dr. Mohammad Saffree (dua kiri), Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan, Prof. Madya Dr. Geoffrey (dua kanan), Dr. Maisyarah dan Dr. Ahmad Aizuddin (kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UMS dan UNISSA di Bandar Seri Begawan pada Khamis
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam telah memperkukuh kerjasama akademik dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di Bandar Seri Begawan pada Khamis.
Ia sekaligus menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan pendidikan tinggi antara kedua-dua institusi.
Majlis berlangsung selepas Program Hafl Al-Takharruj (Konvokesyen) ke-14 UNISSA yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, Brunei Darussalam.
Pada majlis itu, seramai 454 graduan diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian mereka.
Istiadat penuh bermakna ini telah diperkenankan oleh Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien merangkap Canselor UNISSA.
Baginda diiringi oleh Putera Mahkota merangkap Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pro-Canselor UNISSA, Pengiran Muda Mahkota (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah.
Bagi pihak UMS, majlis pemeteraian MOA telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansur.
Sementara UNISSA diwakili oleh Rektor, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan Haji Zainal.
Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIM), UNISSA, Dr. Muhammad Zaki Haji Zainal Abidin.
Hadir sama ialah Ketua Program Kewangan Islam FKAL, Dr. Maisyarah Stapah Salleh dan Pegawai Pusat Jaminan Kualiti FKAL merangkap Pegawai Penyelaras Program Ijazah Dual, Dr. Ahmad Aizuddin Hamzah.
MOA ini merupakan satu langkah penting dalam kerjasama akademik khususnya dalam bidang Kewangan Islam, menerusi pelaksanaan Program Ijazah Dual.
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan global UMS dan UNISSA, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, menyediakan pelajar dengan pendedahan antarabangsa serta kelayakan yang diiktiraf oleh kedua-dua negara, Malaysia dan Brunei.
Pada masa sama, memperkukuh penyelidikan dan pengajaran dalam bidang kewangan Islam, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi halal global.
Wakil kedua-dua institusi menegaskan bahawa inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang bagi pertukaran akademik rentas sempadan, kerjasama penyelidikan dan perkongsian ilmu.
Kerjasama ini juga menzahirkan komitmen UMS terhadap aspirasi Malaysia Madani serta visinya untuk muncul sebagai universiti berdaya saing di peringkat global.
Di samping memperkukuh peranan UNISSA sebagai institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di rantau ini.



