Verdon (tiga kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada agensi di daerah Kudat disaksikan oleh Jainisah (dua kiri) dan jemputan kehormat.
KUDAT: Semua masyarakat diseru melibatkan diri dalam usaha menjayakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda berkata usaha itu dilihat bukan sahaja menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang malah tingkatkan semangat patriotisme.
“Semua lapisan masyarakat termasuk ketua Kampung, pemimpin komuniti dan ketua keluarga kita sarankan untuk libatkan diri menjayakan inisiatif 1R1JG.
“Selain itu, usaha tersebut mampu meningkatkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat seterusnya sebagai tanda penghormatan kepada perjuangan tokoh Kemerdekaan,” ujarnya ketika ditemui media dalam program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Kudat di Dataran Tomborungus pada Khamis.
Menurut beliau, KMJG yang diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor dan disertai oleh pelbagai agensi perlu diteruskan dan memberi fokus kepada anak-anak muda untuk diberi pendedahan lebih luas mengenai sejarah perjuangan negara.
“Meskipun mereka mempelajari sejarah di sekolah namun masih memerlukan pendekatan lebih segar dan interaktif bagi memahami perjuangan sebelum dan selepas Kemerdekaan.
“Memang setiap masa itulah harapan kita, semoga program-program yang dianjurkan ini sama ada melalui pameran kebudayaan ataupun apa-apa acara yang kita buat akan menyatukan masyarakat yang pelbagai kaum di Kudat ini.
“Di samping itu dapat meningkatkan kecintaan anak-anak muda kita kepada negara dan juga rasa patriotik kita kepada negara,” katanya./Penerangan



