ADVERTISEMENTspot_img

PBSL, Ahli keluarga perlu menerima prospek dengan hati terbuka.

Tony (ketiga dari kiri) diiringi oleh Sirajuddin (kedua dari kiri) meyampaikan dokumen PBSL kepada salah seorang Prospek.

KENINGAU: Komuniti khususnya ahli keluarga banduan yang dibebaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) perlu menerima para prospek dengan hati terbuka.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Tony Talasoy berkata, para prospek diberi peluang berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing dan komuniti sempena Hari Raya Aidilfitri yang tidak lama lagi dan menjalani baki hukuman di pangkuan keluarga dibawah pengawasan Pegawai Parol di daerah berkenaan.

Katanya, mereka ini dibebaskan melalui program PBSL Ishan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.

“Jadi terimalah mereka (Prospek) dengan hati terbuka, jangan risau dengan kepulangan mereka kerana mereka ini sudah insaf dan dibekalkan dengan pelbagai kemahiran seperti dalam bidang pertanian, kimpalan, elektrikal dan sebagainya” katanya kepada media selepas program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ishan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” sempena Hari Aidilfitri 2025 peringkat Sekolah Henry Gurney & Pusat Reintegrasi Penghuni Keningau pada Isnin.

Tony yang mewakili Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin berkata, komuniti setempat jangan bersikap negatif terhadap Prospek yang lepaskan melalui program PBSL tetapi terimalah mereka dalam komuniti dan beri peluang kepada mereka hidup bermasyarakat seperti sediakala sebelum mereka terjebak dalam kegiatan yang menyebab mereka menjadi penghuni penjara.

“Kita yakin mereka ini sudah insaf kerana sepanjang dalam penjara mereka bukan saja dilatih dengan pelbagai kemahiran tetapi mereka juga diberi didikan agama mengikut ajaran agama masing-masing” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Tony berkata, Program PBSL Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” ini adalah usaha kerajaan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan peluang kedua kepada Prospek yang berusaha untuk berubah dan membina kehidupan baru.

Katanya, dalam erti kata lain, program ini adalah juga bertujuan untuk memberikan keistimewaan kepada banduan atas alasan merapatkan hubungan kekeluargaan, mencari peluang pekerjaan, perancangan masa hadapan dan lain-lain perkara yang difikirkan wajar oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Tony berkata, beliau difahamkan, Program Pelepasan Banduan Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” pada hari ini melibatkan pelepasan banduan seluruh institusi Jabatan Penjara di Malaysia.

“Dan bagi Sekolah Henry Gurney Keningau seramai 16 prospek terlibat dengan Program PBSL.

Mereka ini adalah antara prospek yang telah menjalani sekurang-kurangnya 1/3 daripada tempoh hukuman di dalam fasiliti serta telah menjalani program pemulihan dalam tempoh tersebut untuk mengikuti Pemulihan Dalam Komuniti sehingga selesai baki hukumannya di luar fasiliti” katanya.

Tambah Tony sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2025 ini, tema kasih sayang dan pengampunan sangat relevan dengan maksud program ini. Ihsan Madani “Kepulangan Yang Dinanti” seiring dengan semangat sambutan Hari Raya Aidilfitri, kita merai mereka yang akan kembali kepangkuan keluarga dan komuniti, membawa harapan dan semangat baru untuk membina masa depan yang lebih baik.

Kepulangan Prospek-Prospek ini katanya, bukan sahaja menjadi tanggungjawab diri mereka tetapi juga tanggungjawab kita bersama sebagai masyarakat yang penyayang.

Justeru itu katanya, terimalah mereka dengan hati yang terbuka dan bantulah mereka untuk kembali berdiri di atas kaki sendiri.

Tony turut memberi peringatan kepada Prospek yang bakal dilepaskan agar sentiasa menghargai peluang kedua yang diberikan.

“Peluang kedua ini adalah hadiah yang sangat berharga. Jadikan kebebasan ini sebagai permulaan baru untuk anda membina masa depan yang lebih cerah.

Anda telah melalui detik sukar, tetapi detik ini menjadi titik tolak ke arah kehidupan yang lebih baik. Apa yang telah berlaku dalam kehidupan anda adalah pengajaran. Jadikan pengalaman tersebut panduan untuk anda tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Setiap cabaran yang anda hadapi telah membentuk diri anda menjadi lebih kuat dan tabah.

Sentiasa memanfaatkan sokongan yang diberikan terutamanya oleh Keluarga, komuniti, dan agensi yang terlibat yang sedia membantu anda untuk bangkit semula. Jangan segan untuk mendapatkan bimbingan, pekerjaan, atau kaunseling. Anda tidak keseorangan dalam perjalanan ini” kata Tony memberi semangat kepada prospek.

Pada masa sama Tony memberi suntikan semangat agar para Prospek terus berusaha untuk berubah dengan sedaya upaya dan penuh kesabaran.

Katanya, sentiasa ingat bahawa perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata, tetapi setiap langkah kecil yang diambil kearah kebaikan adalah kemenangan besar.

“Kehidupan baru ini bukan sahaja untuk diri anda tetapi juga untuk menjadi contoh kepada orang lain. Tunjukkan bahawa perubahan adalah sesuatu yang boleh dicapai. Jadilah bukti bahawa dengan tekad dan usaha, kita mampu bangkit dan menjadi lebih baik” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau Penolong Pengarah Komisioner Penjara
Sirajuddin berkata sepanjang tahun 2024 sehingga hari ini seramai 278 Prospek dilepaskan melalui program PBSL.

Katanya, sepanjang tahun 2024 55 Prospek di Parol dan 6 Prospek daripada bilangan ini sudah tamat menjalani hukuman manakala baki terkini masih dalam pemantauan Parol 49 Prospek.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN