ADVERTISEMENTspot_img

Treler dengan muatan tujuh kereta baharu terjunam dalam gaung

ROSAK…Tujuh kereta baharu rosak selepas Treler yang mengangkut kenderaan tersebut terbabas dan terjunam ke dalam gaung dekat Kg.Nabutan di sini, pada Jumaat. – Foto Bomba Ranau

RANAU: Sebuah treler membawa muatan tujuh kereta terjunam dari ketinggian 50 kaki selepas terbabas di Jalan Ranau-Sandakan, dekat Kampung Nabutan, di sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Mohd Ridwan bin Mohd Taib, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.46 pagi menerusi talian balai.

Katanya, sebuah jentera FRT-1 bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer daripada BBP Ranau.

“Setibanya di lokasi, bomba mendapati sebuah lori treler yang membawa muatan tujuh buah kereta baru jenis Proton Saga dari Kota Kinabalu ke Pantai Timur telah terjunam ke dalam gaung dipercayai terbabas sendiri.

“Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan sebuah rumah akibat dihempap pokok yang tumbang, katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut Mohd Ridwan, seorang mangsa, iaitu pemandu treler, turut terlibat namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 12.50 tengah hari,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN