Flovia memalu gong sebagai gimik perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Dewan Hj. Gusman, Kampung Panagatan Ulu, Sook, Sabah pada hari Ahad.
SOOK: Kanser serviks merupakan kanser ketiga utama dalam kalangan wanita di Malaysia, kata Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah Datuk Flovia Ng.
Menurutnya, Statistik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, 2012 – 2016 melaporkan 1 nisbah 144 penduduk wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser serviks.
Tambahnya, sebanyak 3,981 kes baru kanser serviks dikesan bagi tempoh lima (5) tahun tersebut berbanding 4,325 kes bagi tempoh 2007 – 2011.
“Jika dilihat kepada Statistik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, 2007 – 2011 dan 2012 – 2016, kadar insiden kanser serviks ini telah menurun iaitu dari tujuh perpuluhan enam (7.6) kes kepada enam perpuluhan dua (6.2) kes bagi setiap 100,000 populasi wanita di Malaysia.
“Penurunan ini berkemungkinan disebabkan oleh kempen pengesanan awal melalui ujian Pap Smear yang disediakan oleh pihak Kerajaan di semua fasiliti kesihatan.
“Selain itu faktor penurunan kes kanser serviks ini juga mungkin berkait rapat dengan kesedaran menjalani saringan kanser berikutan penerimaan golongan wanita terhadap kaedah saringan yang lebih mudah dan efektif,” katanya.
Flovia menambah bahawa faktor risiko berlakunya kanser serviks dikaitkan dengan faktor sosio-demografi seperti status sosioekonomi yang rendah, indikator aktiviti seksual seperti bilangan pasangan seksual dan usia pertama kali mengadakan hubungan seksual, sejarah penyakit kelamin terutamanya jangkitan Human Papillomavirus (HPV).
“Menurut World Health Organization (WHO), 95 peratus jangkitan HPV yang tidak dirawat boleh menyebabkan kanser serviks (WHO, November 2023),” katanya.
Beliau yang juga merupakan Adun N.44 Tulid berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Hj. Gusman, Kampung Panagatan Ulu, Sook, Sabah pada hari Ahad.
Sementara itu, katanya, di Malaysia, kos ujian HPV DNA di hospital swasta adalah di antara RM300.00 hingga RM500.00 sekali ujian.
“Menyedari hakikat ini, pelbagai usaha telah diambil oleh Kerajaan dalam membantu wanita memerangi gejala penyakit kanser serviks ini antaranya menerusi pelaksanaan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak tahun 2019.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk membantu wanita menjalani saringan kanser serviks melalui pendekatan pemberian ujian HPV DNA secara percuma dan selanjutnya meningkatkan kesedaran wanita mengenai kesihatan pangkal rahim dan kepentingan pengesanan awal kanser serviks.
“Melalui Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) yang bermula pada tahun 2019 oleh LPPKN, seramai 162,581 orang wanita dicatatkan telah menjalani ujian HPV DNA sehingga tahun 2024.
“Daripada jumlah tersebut, didapati 10,582 orang wanita telah disahkan positif HPV, manakala 135 kes telah disahkan pra kanser dan 17 kes adalah disahkan positif kanser serviks,” katanya.
Bagi Negeri Sabah Flovia berkata, seramai 17,517 orang wanita telah menjalani ujian HPV DNA sepanjang perlaksanaan program ini sejak tahun 2019.
Daripada jumlah penerima tersebut, katanya, didapati seramai 1558 orang wanita telah disahkan positif HPV.manakala 20 kes pra kanser dan 2 kes positif kanser serviks telah dilaporkan.
“Justeru, pengesanan kanser adalah tanggungjawab kita bersama. Saya sangat berharap agar kaum adam turut memainkan peranan aktif sebagai pendorong kepada isteri, ibu dan ahli keluarga wanita yang lain untuk tampil menjalani pemeriksaan.
“Segala kemudahan telah tersedia untuk anda, gunakan peluang ini untuk mendapatkan perkhidmatan ujian HPV DNA dan ujian mamogram percuma. Ingatlah, pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa!. Cepat Tahu Cepat Tindak,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Wakil Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah Abdul Halil Bin Omar dan Pengarah LPPKN Shahriah Binti Saharom, atas kejayaan penganjuran program tersebut.
“Saya juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Penolong Pegawai Daerah Sook, Caroline Benjamin Jiungan, yang banyak membantu menjayakan perlaksanaan program ini.
“Saya juga mengalu-galukan kehadiran Ketua-ketua Jabatan, semua NGO, pemimpin-pemimpin setempat, pihak media dan sukarelawan yang telah berganding bahu untuk menjayakan program ini,“ katanya.
Flovia percaya program pada hari ini memberi makna yang besar serta amat bermanfaat kepada semua dalam meningkatkan tahap kesihatan khususnya golongan wanita.
“Hal ini amat penting kerana dengan penganjuran program ini, penduduk di kawasan luar bandar akan mendapat akses kepada saringan kanser wanita.
“Dalam konteks sambutan hari ini, saya difahamkan pihak LPPKN ada menyediakan subsidi ujian HPV DNA secara percuma serta Program Ujian Subsidi Mamogram.



